Kebiasaannya ikan kerapu tidak kira berapa saiznya akan dibawa balik untuk dimasak sebagai hidangan. Terasa pelik pula apabila semua tangkapan kerapu trip ini dilepaskan semula. Apa-apa pun, ribuan syabas diucapkan kepada program yang membuka mata ini.
Satu program tangkap dan lepas ikan kerapu bersaiz kasar telah berlangsung di perairan Lumut, Perak. Program ini telah dianjurkan oleh Kapten Chow selaku Pengasas Lynx Adventure Asia.
Saya telah dijemput bersama pemancing berpengalaman Chong dan Alan untuk bersama-sama menjayakan program. Trip ini juga dihadiri Fiekah Ishak selaku wakil lady angler.
Lepaskan ikan kerapu
Sepanjang saya memancing, tidak pernah lagi dengar dan lihat pemancing melepaskan kembali ikan kerapu ke laut, lebih-lebih lagi yang bersaiz besar. Jika ikan gerepoh atau GT sememangnya lumrah ia dilepaskan kembali.
Ramai juga orang mengatakan melepaskan semula ikan kerapu sebagai satu perbuatan yang tidak relevan. Ini kerana ikan kerapu yang dipancing di laut dalam biasanya akan menjadi terlalu lemah atau terus mati sebaik sahaja naik ke permukaan air akibat pelampung atau pundi renang di dalam badannya tersembul keluar.
Oleh kerana spesies ikan ini habitatnya rapat di dasar dan kawasan berstruktur seperti kapal karam, tukun dan batu karang, pelampung di dalam badannya yang mengawal kadar keterapungan di dalam air mudah terkeluar sehingga ke mulut jika dipam dengan kuat dan laju ke permukaan air.
Walaupun perkara ini merupakan satu masalah yang besar jika ingin melepaskan kerapu semula, namun team Lynx Adventure Asia tetap ingin membuktikan bahawa ia masih boleh dilepaskan dengan selamat.
Hal ini kerana mereka mempunyai satu alat khusus yang dipanggil seaqualizer atau alat pelepas ikan ke dasar laut yang akan digunakan dalam trip berkenaan.
Populasi kerapu merudum
Sekarang semakin sukar untuk mendapatkan ikan kerapu yang melebihi berat 10 kilogram (kg), harganya boleh mencecah hingga RM100 sekilogram, menjadikan ia satu hasil tangkapan berharga mahal.
Ikan ini sering diburu pemancing tegar yang sanggup meredah lautan bergelora berhari-hari lamanya demi mendapatkannya. Mengikut kajian, ikan kerapu mampu hidup sehingga 22 tahun, membesar hingga 1.2 meter panjang dan seberat 30kg. Ia mendiami terumbu berbatu karang di kedalaman antara 50 hingga 100 meter.
Keunikan ikan ini terletak pada kitaran hidupnya, di mana ia lahir sebagai betina dan akan bertukar menjadi jantan apabila mencapai usia sekitar tujuh tahun dengan berat antara 10 hingga 15kg.
Jadi, setiap tangkapan memberi kesan besar kepada bilangan spesies ini yang semakin berkurangan.

Populasi ikan kerapu terutamanya di Semenanjung Malaysia semakin lama semakin berkurangan dengan mendadak.
Dahulu, ia mudah dipancing dengan menggunakan jig sahaja. Kini, penggunaan jig sudah bertukar kepada teknik pancing dasar akibat bilangannya yang semakin berkurangan.
Ulas Kapten Chow lagi, ikan kerapu yang berjaya dipancing kini kebanyakannya terselamat daripada terkena jaring nelayan laut dalam.
Selamat dilepaskan
Pada trip ini, kami berjaya mendaratkan 10 ekor kerapu bersaiz dari 5kg dan paling besar seberat 16kg. Semua ikan tersebut telah kami lepaskan kembali ke dalam laut dengan selamat.
Setiap kerapu yang dilepaskan direkodkan saiz, lokasi dan kedalaman ia ditangkap, sebelum dilepaskan. Tag juga dipasang pada semua kerapu yang dilepaskan. Semua kerapu dilepaskan dengan menggunakan seaqualizer.
Apa itu seaqualizer?
Seaqualizer adalah alat penurun ikan ke dasar lautan.
Apabila ikan dinaikkan dari kedalaman tertentu, perubahan tekanan yang drastik boleh mengembangkan pundi renangnya hingga menyebabkan barotrauma. Fungsi alat ini dapat mengembalikan ikan ke kedalaman asalnya dengan selamat.
Kajian menunjukkan bahawa penggunaan alat seaqualizer ini dapat memberikan kelangsungan hidup ikan kerapu melebihi 90 peratus.
Bukti kejayaan
Setiap ekor ikan kerapu yang dilepaskan akan ditandakan dengan tag bernombor dan direkodkan oleh pihak Lynx Adventure Asia.
Kebetulan seekor kerapu yang dipancing kami telah berjaya dipancing oleh pemancing lain berdasarkan bukti tagging yang terdapat di ikan itu.
Kerapu tagging nombor 01 tersebut telah dilepaskan pada 8 April lalu dan berjaya dipancing semula selang 14 hari kemudian oleh pemancing lain di Lumut, Perak.
Ini membuktikan bahawa kerapu yang dilepaskan dengan cara yang betul masih boleh kembali hidup aktif di habitatnya.
Masih belum terlambat
Tangkap dan lepas ikan kerapu adalah perkara baru yang dilakukan pihak Lynx Adventure Asia. Target utama mereka adalah mengekalkan stok ikan untuk generasi muda pemancing kita.
Usaha yang kecil ini diharapkan dapat mendidik generasi muda supaya menjaga spesies lautan, contohnya ikan kerapu agar berkekalan sampai bila-bila.
Bukan sahaja ikan kerapu, banyak lagi spesies ikan lain turut terancam akibat perbuatan lampau tuai dan sebagainya.
Diharapkan lebih banyak lagi aktiviti kesedaran menjaga habitat laut dan penghuninya dapat dilakukan oleh pihak lain untuk generasi akan datang.














