BEREGU lelaki No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meletakkan sasaran tinggi pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 apabila bertekad untuk menamatkan kemarau 12 tahun kejuaraan di hadapan penyokong sendiri.
Pasangan negara itu memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan wakil Perancis, Eloi Adams-Leo Rossi 21-16, 21-13 dalam masa hanya 31 minit pada aksi pusingan pembukaan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil kelmarin.
Nur Izzuddin menegaskan bahawa mereka menjadikan Malaysia Masters sebagai salah satu misi utama musim ini, lebih-lebih lagi dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Sudah tentu ini salah satu sasaran kami. Kami mahu menang di hadapan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu. Tetapi, dalam masa yang sama, kami juga mahu menikmati permainan dan berikan aksi terbaik,” katanya selepas perlawanan.
Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, akan berdepan cabaran seterusnya menentang pasangan dari Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh yang kini berada di ranking ke-38 dunia.
Sementara itu, Sze Fei mengambil pendekatan berhati-hati dengan menekankan keperluan untuk kekal fokus dan tidak terbeban dengan tekanan harapan peminat.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara Malaysia Masters adalah pada edisi 2013 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah.