fbpx
FAYROUZ (tengah) bersama 42 prospek yang menyertai Kursus Asas Sokongan Hayat (BLS) di Pusat Koreksional Batu Gajah semalam.

42 prospek koreksional cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU GAJAH – Seramai 42 prospek di Pusat Koreksional Batu Gajah berjaya menamatkan Kursus Bantuan Hayat Asas (BLS) dan memperoleh sijil bertauliah selepas lulus ujian teori serta praktikal sekali gus mencipta sejarah sebagai program pertama seumpamanya di negara ini.

Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Pusat Koreksional Batu Gajah dan Hospital Batu Gajah.

Pengarah Penjara Negeri Perak, Timbalan Komisioner Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, inisiatif tersebut merupakan yang pertama melibatkan prospek Jabatan Penjara Malaysia dan telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

“Program ini memberi pendedahan serta kemahiran asas menyelamatkan nyawa kepada prospek menerusi latihan yang dikendalikan oleh pegawai serta pakar perubatan.

“Kemahiran yang diperoleh bukan sahaja boleh digunakan sepanjang berada dalam institusi, malah bermanfaat selepas mereka kembali ke dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Basic Life Support (BLS) dan Automated External Defibrillator (AED) Bertauliah di Pusat Koreksional Batu Gajah di sini.

Menurutnya, 42 prospek itu terdiri daripada 30 wanita dan 12 lelaki yang terlibat dalam program yang merangkumi latihan teori, amali serta penilaian.

Sementara itu, Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr. J. Jayakumaran berkata, idea pelaksanaan program tersebut tercetus hasil perbincangan antara pihak hospital dan Pusat Koreksional Batu Gajah bagi memberi manfaat kepada prospek.

Menurut beliau, pada awalnya program berkenaan dirancang sebagai latihan biasa sebelum disedari ia merupakan inisiatif pertama di negara ini yang melibatkan latihan BLS bertauliah kepada prospek institusi penjara.

“Berikutan itu, kami mengambil inisiatif untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records dan akhirnya berjaya melakar sejarah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua peserta telah lulus ujian bertulis dan praktikal serta diiktiraf sebagai pengamal BLS.

“Sijil bertauliah yang diterima ini diharap dapat meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu proses integrasi semula prospek ke dalam masyarakat selepas dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, seorang prospek wanita yang mahu dikenali sebagai Lyn, 44 berkata, mengikuti kursus tersebut disifatkan sebagai pengalaman yang sangat bermakna kerana membuka peluang untuk mempelajari kemahiran menyelamatkan nyawa seperti CPR dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED).

Katanya, ilmu yang diperoleh amat berguna khususnya bagi membantu ahli keluarga yang mempunyai sejarah penyakit jantung.

“Sebelum ini saya hanya mampu menunggu bantuan tiba dengan rasa cemas, tetapi selepas belajar kursus ini saya lebih yakin untuk bertindak awal membantu sebelum bantuan profesional sampai,” katanya.

Katanya, kemahiran tersebut bukan sahaja memberi keyakinan untuk membantu keluarga, malah membuka perspektif baharu bahawa dirinya juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat apabila kembali ke kehidupan normal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN