SEREMBAN – Seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mencekik dan menampar pipi bayi perempuannya berusia 20 bulan, Februari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, wanita berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 20 bulan telah menganiaya dengan cara mencekik dan menampar pipi hingga mendatangkan kecederaan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4 pagi di Taman Sentul, Jalan Besar, Mantin di sini pada 28 Februari lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nurul Balkis memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh mengalami masalah berkaitan mental dan beliau memohon supaya wanita itu dihantar menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan tertuduh akan dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru, Johor untuk pemeriksaan mental. Mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk keputusan penilaian psikiatri. – KOSMO! ONLINE