TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori maut dalam nahas melibatkan empat kenderaan iaitu tiga buah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser di Kilometer (KM) 366, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan pada pukul 10.30 malam tadi.
Tiga buah lori tersebut masing-masing ialah sebuah treler membawa muatan batu kapur, sebuah lori membawa muatan paip dan sebuah lagi dengan muatan motosikal.
Mangsa lelaki berusia 40 tahun merupakan pemandu lori yang membawa muatan batu kapur daripada Simpang Pulai, Ipoh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua lelaki di dalam lori membawa muatan paip mengalami kecederaan.
“Seorang pemandu lori membawa muatan motosikal turut mengalami kecederaan, manakala pemandu dan penumpang MPV tidak cedera. Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa pemandu lori muatan batu kapur yang tersepit.
“Mangsa yang mati di lokasi kemalangan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala yang cedera dihantar ke hospital terdekat menggunakan ambulans bagi rawatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE