LANGKAWI – Lokasi penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) perlu diperbesarkan lagi bagi menampung lebih banyak penyertaan daripada syarikat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan tentang perkara itu oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam taklimat persiapan LIMA’25 sebentar tadi.
“LIMA sekarang sudah sesak dan ada keperluan untuk memperbesarkan seperti yang ditaklimatkan oleh Menteri Pertahanan supaya diperluaskan kawasan itu.
“Ia supaya LIMA (selepas ini) berupaya menerima lebih banyak syarikat peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Pejabat PKR Langkawi, di sini hari ini.
Katanya, kawasan berkenaan meliputi Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan kawasan tarmac meliputi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
“Terdapat keperluan kawasan dan kemudahan yang sesuai, sekarang ini bagus kerana sambutan yang baik, namun taklimat tadi (memaklumkan) ada negara dipelawa dan kemudian kita tak boleh sambut,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar berkata, pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) adalah supaya ada lonjakan untuk meningkatkan pembangunan di pulau ini.
“Menteri Kewangan II kemuka pandangan keperluan untuk memperbesarkan supaya LIMA jadi lebih gagah dan hebat. Ada pesawat baharu yang tak boleh masuk kerana tempat sesak,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Kewangan II dapat membantu untuk membawa perubahan supaya LIMA akan datang jauh lebih hebat dalam pertunjukan udara dan maritim di rantau ini. – KOSMO! ONLINE