TUMPAT – Penghulu Mukim Terbak di sini mengakui ramai dalam kalangan pesakit bomoh Siam terdiri daripada orang Melayu.
Menurut Cham Roen, 54, dia sendiri pernah membawa ramai orang Melayu yang datang dari luar Kelantan untuk bertemu dengan Lung Chan dan seorang lagi bomoh.
“Setiap perkampungan masyarakat Siam di daerah ini pasti ada bomoh.
“Bagi masyarakat Siam, bomoh ini perlu dalam setiap kampung kerana mereka menjadi tempat untuk mendapatkan rawatan tradisional,” katanya.
Menurut Roen, selain mengubat, bomoh Siam menjadi tempat rujukan masyarakat beragama Buddha untuk menentukan tarikh peristiwa penting seperti perkahwinan dan masuk ke rumah baharu.
“Orang Siam akan mendapatkan nasihat bomoh untuk tujuan itu,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, bagi kebanyakan orang Melayu, mereka mempercayai aspek lain dan ia tidak sama dengan kepercayaan masyarakat Siam sendiri.
“Bagi orang Melayu, mereka inginkan permintaan lain daripada kepercayaan kami. Orang Siam sendiri jarang meminta bomoh untuk memulihkan hubungan rumah tangga, minyak pengasih dan menyerikan wajah.
“Bagi yang beragama Buddha, selepas bertemu dengan bomoh Siam, kami akan bertemu dengan sami di kuil,” katanya.















