KEMAMAN – Gara-gara memakan beberapa keping roti buku tanpa kebenaran, seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di daerah ini mendakwa ditampar wardennya sehingga cedera pada bahagian kiri dahi pada akhir bulan lalu.
Kejadian melibatkan remaja lelaki berusia 16 tahun itu didakwa berlaku pada pukul 3.45 petang, 26 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, mangsa mendakwa perbuatan tersebut berlaku di dalam bilik asrama pusat tahfiz terbabit.
“Mangsa mendakwa dia ditampar kerana telah melanggar peraturan dengan memakan roti yang disimpan untuk sarapan keesokan hari tanpa kebenaran.
“Roti yang dimakan adalah sebahagian sebuku roti yang masih di dalam bungkusan dan ia diletakkan di tempat simpanan makanan pusat tahfiz terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Razi berkata, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada pukul 9.50 pagi, 27 April lalu.
Beliau berkata, remaja lelaki berkenaan kemudianya dimasukkan ke Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan.
“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperoleh. Keterangan warden pusat tahfiz itu juga sudah sudah diambil. Siasatan awal mendapati suspek berusia 41 tahun baru dilantik menjadi warden pusat tahfiz itu pada Disember tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE