GEORGE TOWN – Ketibaan pelancong dari China ke Pulau Pinang melonjak sebanyak 218.86 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya, menjadikan China antara pasaran pelancongan luar negara terpenting bagi negeri ini.
Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, peningkatan ketara itu adalah hasil pelbagai inisiatif proaktif oleh kerajaan negeri, termasuk pengukuhan akses udara secara terus dari bandar-bandar utama di China ke Pulau Pinang.
“Jumlah ketibaan pelancong China melalui ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah meningkat daripada 37,711 orang pada tahun 2023 kepada 120,245 orang pada tahun 2024.
”Ini merupakan peningkatan yang amat ketara berbanding hanya 5,918 orang pada tahun 2022 dan membuktikan China kekal sebagai pasaran utama pelancongan antarabangsa bagi negeri ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Hon Wai (DAP-Paya Terubong) menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lancang) mengenai strategi dan pencapaian kerajaan negeri dalam menerokai pasaran pelancongan dari China.
Hon Wai berkata, antara usaha utama kerajaan negeri termasuk penambahan tujuh penerbangan terus baharu dari China ke Pulau Pinang sejak Ogos 2023 hingga April 2025 melibatkan syarikat penerbangan seperti Xiamen Airlines, Juneyao Airlines, Shenzhen Airlines, Shanghai Airlines, AirAsia, Hong Kong Express dan Sichuan Airlines.
Dalam masa sama, katanya, beberapa penerbangan sewaan dari China juga telah beroperasi bagi memenuhi permintaan pelancong. -KOSMO! ONLINE