MELAKA – ‘Saya sanggup redah api selamatkannya tetapi saya memang tak tahu atau nampak dia menyorok dekat mana’.
Demikian kata Siti Zaharah Borhan, 43, mengenai kebakaran yang meragut nyawa anaknya, Muhammad Afizul Hakim Alias,4, dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dekat sini, Jumaat lalu.
Katanya, dia menjerit memanggil anak-anaknya termasuk mangsa yang mesra dengan panggilan abang Ijoi ketika api masih belum marak.
Katanya, mangsa bagaimanapun tidak menyahut dan disangka telah keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri bersama adik-beradiknya yang lain.
“Saya jerit Ijoi, Ijoi memang dia tak bersuara, keadaan api masa tu belum marak lagi memang boleh saya boleh pergi selamatkannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PPR Krubong semalam.
“Mak mana yang nak anak mati, kita nak anak-anak kita sihat tetapi netizen ini pandai cakap-cakap. Saya kalau tahu anak dekat mana saya selamatkan dia, Allah tak izinkan saya nampak dia,” ujarnya tidak dapat menahan sebak.
Tambah Siti Zaharah, dia sedih dengan cakap-cakap netizen yang mendakwanya tidak pandai menjaga anak.
“Orang cakap senang, mak mana nak mahu anak dia sakit jauh sekali mati,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE