fbpx
Anggota penguat kuasa KPDN Kelantan menjalankan siasatan terhadap seorang pekerja yang didakwa mengenakan caj RM30 bagi membaik pulih kalkulator di sebuah premis di Kota Bharu semalam.

Peniaga caj RM30 baiki kalkulator diminta kemuka perincian kos pembaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengeluarkan notis kepada peniaga yang mengenakan caj sebanyak RM30 bagi membaiki sebuah kalkulator saintifik dimasuki air milik seorang pelajar sekolah sehingga video kejadian tersebut tular di media sosial.

Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, notis yang dikeluarkan semalam itu bagi mengesahkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Peniaga dikehendaki mengemukakan maklumat terperinci berhubung kos pembaikan dalam tempoh empat hari bekerja bagi membantu siasatan lanjut.
“Sebarang cubaan mengambil kesempatan terhadap pengguna akan dikenakan tindakan tegas demi melindungi kepentingan rakyat,” katanya

Aswadi memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Katanya, KPDN Kelantan akan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada unsur pencatutan atau manipulasi terhadap pengguna.

Terdahulu, tular video yang dimuat naik oleh seorang pekerja sebuah pusat membaiki telefon yang mengenakan caj RM30 untuk membaik pulih kalkulator milik seorang pelajar sekolah.

Menerusi video itu, remaja itu bersama ibunya datang ke premis tersebut untuk membaiki sebuah kalkulator saintifik yang tidak boleh dihidupkan selepas terjatuh ke dalam air.

Pekerja pusat membaiki telefon itu membuka peralatan tersebut dan mengeringkan bahagian dalam kalkulator sebelum menukar bateri yang diambil daripada alat kawalan jauh dipercayai sebuah televisyen di dalam premis tersebut.

Teknik yang dilakukan oleh pekerja itu berjaya menghidupkan semula kalkulator tersebut.

Satu video penjelasan yang dimuat naik oleh pekerja berkenaan mendakwa, harga RM30 untuk membaik pulih kalkulator itu sudah dipersetujui oleh wanita berkenaan.

Lelaki itu turut mendakwa bateri yang diambil daripada alat kawalan jauh itu juga merupakan bateri baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN