SHAH ALAM – Pengasas taska bergelar Datin dan pengurus rangkaian taska itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menjalankan operasi taska tanpa lesen dan membahayakan anak asuhan.
Datin Nor Fadilah Alias, 36, dan Nurrul Farhana Ramlee, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Nurul Farhana didakwa dengan cuai membahayakan nyawa seorang kanak-kanak lelaki yang terkurung di dalam sebuah bilik di sebuah taska di Seksyen 3 di sini, kira-kira pukul 4.32 petang, 6 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali.
Nurul Farhana dan Fadilah masing-masing juga didakwa menjalankan taska tanpa pendaftaran sah di Kota Kemuning kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 19 Januari lalu.
Mereka juga didakwa satu lagi pertuduhan bersama sebagai individu bertanggungjawab kerana mengendalikan taska tanpa perakuan pendaftaran sah daripada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat di sebuah taska di Seksyen 3 di sini, kira-kira pukul 3.54 petang pada 21 Januari lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6 dan 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 untuk setiap pertuduhan bagi kedua-dua tertuduh.
Peguam Anwar Ezzad Zainal bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan RM2,000 kepada dua anak guamnya bagi setiap pertuduhan ekoran jaminan dicadangkan pendakwaan terlalu tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh bersama seorang penjamin.
Sebutan semula kes pada 25 Mei depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam didakwa mengurung seorang kanak-kanak autistik berusia 11 tahun dalam bilik stor selain memaksa seorang bayi minum susu dengan cara dikepit menggunakan kaki.
Rakaman kejadian itu didedahkan Caprice menerusi Instagram Munafik Hunter telah mencetuskan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak malang itu telah dihantar ke premis berkenaan sejak enam tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














