KAMPAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel selepas menyita 1,000 liter bahan api di sebuah stesen minyak di Kampar semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu susulan risikan berhubung aktiviti penyelewengan diesel yang dipercayai diperoleh dari beberapa stesen minyak di kawasan sekitar.
“Hasil pemantauan selama seminggu membawa kepada penemuan lori tiga tan yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini. Siasatan mendapati lori itu diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti 3,000 liter untuk mengumpul diesel,” katanya hari ini.
Menurut beliau, sindiket itu dipercayai beroperasi pada lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Mengikut modus operandi, mereka membeli dan memindahkan diesel ke dalam tangki yang diubah suai sebelum dijual semula kepada pihak industri di pasaran gelap. Seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
Pihak berkuasa menyita 1,000 liter diesel, lori tiga tan jenis Canter, tiga buah tangki IBC, pam, hos dan resit pembelian diesel. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM49,370. – KOSMO! ONLINE














