KUALA LUMPUR – Seorang wanita terpaksa menanggung tekanan dan ketakutan berpanjangan apabila terus diburu along walaupun sudah bercerai dengan suaminya gemar membuat pinjaman wang.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yuen, 50, berkata, dia bukan sahaja diganggu melalui panggilan telefon dan mesej berunsur ugutan, malah keselamatan anak-anaknya turut diancam oleh along.
Katanya, walaupun dia memaklumkan telah bercerai dengan lelaki tersebut dan tidak pernah bersetuju menjadi penjamin, pihak along tetap mendesak dan mengugut keselamatan dirinya dan keluarga.
“Baru-baru ini saya telah menerima panggilan daripada along yang meminta saya membayar pinjaman dibuat bekas suami iaitu sebanyak RM25,000.
“Mereka juga mengugut akan menyimbah cat di rumah sekiranya gagal membuat bayaran itu,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Yuen berkata, dia bersama bapa mentuanya pernah menjelaskan hutang dibuat bekas suaminya sekitar tahun 2012 dan 2013 berjumlah RM140,000.
“Sebelum ini dia juga pernah mengambil barang kemas saya dan memajaknya. Pada tahun lalu saya pernah membayar lagi hutang bekas suami berjumlah RM12,000 sementara keluarga mentua berhabis RM19,000 lagi untuk melangsaikan baki hutang pada Februari tahun ini.
“Semua hutang bekas suami yang terpaksa ditanggung oleh saya dan bapa mentua dianggarkan berjumlah RM176,000,” katanya.
Sementara itu, bapa lelaki tersebut yang mahu dikenali sebagai Yeow, 88, turut meluahkan kekecewaan apabila bukan sahaja dirinya diganggu along, malah seluruh keluarga terpaksa hidup dalam ketakutan.
“Kenapa perlu libatkan seluruh keluarga? Bukan sahaja keluarga, cucu-cucu pun takut hendak ke sekolah.
“Ada yang terpaksa bersembunyi kerana along datang menuntut hutang. Semua jadi berpecah-belah,” katanya.
Menurutnya, gangguan berterusan itu menyebabkan beliau amat tertekan sehingga menyatakan hasrat untuk tidak lagi mengaku mempunyai hubungan dengan anak sulungnya itu.
Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya telah mengendalikan puluhan kes serupa melibatkan gangguan along yang menyasarkan ahli keluarga peminjam.
“Masalah ini berulang dan ramai peminjam tidak berubah, akhirnya keluarga menjadi mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan along yang terus menindas orang awam. – KOSMO! ONLINE














