MENJADI destinasi pilihan untuk menunggang kuda, Algontory Stable Equestrian Park yang terletak di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Selangor menawarkan pengalaman yang mengujakan buat mereka yang gemarkan cabaran.
Taman ekuestrian ini membolehkan anda menunggang kuda sama ada di arena (berbumbung) atau di kawasan terbuka (laluan jalan raya dan berbukit).
Paling mengujakan apabila penunggang kuda dapat menikmati pemandangan indah dari atas bukit.
Jadi jika anda mahu ‘vibe’ menunggang kuda ala watak Zorro itu, taman ekuestarian ini yang terletak kira-kira 1 jam dari Kuala Lumpur antara tempat yang boleh dituju.
Menurut salah seorang pemiliknya, Nuraishah Abd. Rahim, pengunjung dari dalam dan luar negara sering ke situ bagi merasai pengalaman sebenar menunggang kuda.
“Kami menawarkan latihan buat mereka yang ingin mempelajari teknik menunggang kuda secara serius, tetapi bagi pelanggan yang ingin datang menunggang kuda secara santai juga amat digalakkan.
“Aktiviti menunggang kuda secara santai pada setiap hujung minggu boleh dikatakan mendapat permintaan tinggi sehinggakan ada pelanggan yang datang dari jauh seperti Pulau Pinang turut berminat untuk menunggang kuda di sini,” katanya kepada CitaRasa.
Selain Nuraishah, Algontory Stable Equestrian Park turut dimiliki suaminya Syed Edlee Harith Syed Agel, selain pasangan suami isteri, Nur Khairunisa Kharuddin dan Mohamad Afiq Othman.
Bercerita lanjut, terdapat beberapa pakej disediakan buat pengunjung yang ingin menunggang kuda secara santai di kawasan padang rumput atau berbumbung.
Menurut Syed Edlee Harith, terdapat dua sesi ditawarkan iaitu 30 minit tunggangan (RM80) dan 45 minit (RM100), manakala joy ride dengan dua pusingan di arena (bermula pada harga RM10).

“Selalunya mereka ingin cuba untuk menunggang kuda secara santai hujung minggu akan mengambil pakej ini. Bayaran ini sudah dilengkapi dengan seorang jurulatih untuk memantau peserta secara individu bagi setiap sesi.
“Ada juga pakej buat mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti ini secara serius iaitu pakej empat kelas 45 minit (RM380), lapan kelas 45 minit (RM720) dan lapan kelas 45 minit dengan dua outride (laluan lasak) 90 minit (RM1,099),” katanya.
Syed Edlee Harith memberitahu terdapat juga beberapa pakej aktiviti berkuda lain yang turut ditawarkan.
“Kami ada menyediakan laluan menunggang kuda pada jarak 9 kilometer (km) hingga 20km dengan pemandangan dari atas bukit yang dapat menyaksikan daratan dan lautan menyatu. Boleh dikatakan laluan outride kami menjadi tarikan kepada pengunjung yang ingin menunggang kuda, selain lokasi yang terletak berdekatan kawasan pantai.
“Ada juga pengunjung berkelah di kawasan atas bukit ketika menyaksikan matahari naik atau terbenam.
“Laluan outride selama 90 minit disertakan dengan makanan dan minuman (RM200), sunrise ride (matahari terbit) 90 minit bersama makanan dan minuman (RM240),” katanya.
Bagaimanapun, bagi sesi sunrise ride hanya dilakukan pada hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.
Tambah Syed Edlee Harith, pusat rekreasi tersebut turut menawarkan aktiviti memanah.
“Kami turut menyediakan tempat memanah bagi mereka yang ingin bersantai atau sekadar suka-suka. Terdapat dua sesi disediakan iaitu 15 minit dengan bayaran RM20, manakala 45 minit (RM40). Pengunjung juga boleh datang untuk melakukan aktiviti memanah sementara menunggu masa menunggang kuda.
“Ini kerana sesi menunggang kuda terbuka pada setiap hari kecuali Isnin (tidak beroperasi) bermula pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan berehat seketika sebelum disambung semula pada pukul 3.30 petang hingga 6 petang,” katanya.
Bagaimanapun, Algontory Stable Equestrian Park tidak menyediakan penginapan buat mereka yang ingin bermalam di sana. Pun begitu, Syed Edlee Harith mencadangkan agar pengunjung bermalam di chalet atau inap desa yang terletak 200 meter dari premisnya.
“Bagi yang ingin bermalam, boleh menginap di kawasan berhampiran dengan tempat kami pada harga yang berpatutan.
“Insya-Allah penduduk di sini sudah biasa jika ada pengunjung yang ingin bermalam kerana berkunjung ke tempat kami,” ujarnya,
Bagi yang ingin ke Algontory Stable Equestrian Park boleh layari media sosial Algontory Stable di Instagram, Facebook dan TikTok.














