MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas api marak di rumah yang terletak di tingkat enam bangunan berkenaan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Lokman Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 petang sebelum sepasukan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Ayer Keroh dan Bukit Katil digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 20×40 kaki persegi dan api telah memusnahkan kira-kira 50 peratus struktur kediaman tersebut.
“Seorang kanak-kanak lelaki ditemui maut dipercayai akibat terperangkap dalam rumah yang sedang terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Punca kejadian dan identiti mangsa masih dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE