ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar kerajaan negeri tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik yang ketinggalan zaman.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, berharap kerajaan Persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi menerusi pelaksanaan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
“Pendidikan untuk bangsa Johor adalah sangat penting dan saya berpandangan pendidikan berkualiti tinggi akan melahirkan bangsa Johor yang berdaya saing, di peringkat domestik dan juga global.
“Saya merasa gembira apabila cetusan idea saya untuk mewujudkan SRBJ dilaksanakan kerajaan negeri dan saya mengharapkan SRBJ bakal menjadi model kepada pendekatan pendidikan negeri yang lebih inklusif dan progresif,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Inisiatif SRBJ bermula pada tahun ini membabitkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, seramai 90 guru telah dihantar untuk mengikuti kursus di institusi pendidikan negara di Singapura bagi memperkasakan kemahiran dan model pengajaran serta pembelajaran tenaga pengajar.
“Kita juga tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik yang ketinggalan zaman. Saya berharap kerajaan persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi,” titahnya. – KOSMO! ONLINE