PETALING JAYA – Seorang anak yatim dari Kampung Pok Keral, Tumpat, Kelantan mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama dari kampung itu yang berjaya melanjutkan pengajian ke Jerman dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Pencapaian Ahmad Azzawajiri atau mesra dipanggil Zawa itu turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini membantu membuka laluan pendidikan buat pelajar itu.
Menerusi hantaran di media sosial, Asyraf Wajdi berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi simbol harapan baharu buat masyarakat luar bandar bahawa ilmu mampu mengubah kehidupan.
“Ingat Zawa ya, satu cara sahaja nak balas jasa umi dan ubah kehidupan keluarga, hanya dengan ilmu, insya-Allah!” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kejayaan akademik perlu seiring dengan pegangan agama yang kukuh terutama ketika berada di luar negara.
“Kalau sembahyang tak tinggal, al-Quran tak tinggal, asas itu yang akan jadi jati diri. Tahajud kena buat, Tuhan dah bagi macam-macam nikmat,” pesannya.
Beliau turut mengingatkan Zawa agar memanfaatkan peluang menimba ilmu dan meningkatkan penguasaan bahasa dengan bergaul bersama masyarakat tempatan di negara berkenaan.
Tambahnya, prospek kerjaya juga cerah memandangkan terdapat ratusan syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia.
Terdahulu, Zawa yang kehilangan bapa sejak kecil berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) dengan pencapaian semua A termasuk Bahasa Jerman peringkat B1.
Beliau dijangka berlepas ke Jerman bagi menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di bawah tajaan Mara. – KOSMO! ONLINE














