fbpx
Penggunaan teknologi AI dalam pendidikan autisme dilihat sebagai satu anjakan penting.

AI pemangkin baharu pendidikan autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan autisme dilihat sebagai satu anjakan penting, namun realitinya Malaysia masih berdepan isu asas seperti kelewatan diagnosis, kos rawatan tinggi dan jurang akses perkhidmatan.

Sempena sambutan Hari Autisme Sedunia baru-baru ini, perbincangan mengenai peningkatan kes dalam spektrum autisme kembali mendapat perhatian apabila statistik global menunjukkan satu daripada 100 kanak-kanak berada dalam spektrum itu, manakala di Amerika Syarikat, kadar dilaporkan jauh lebih tinggi iaitu satu dalam 36 kanak-kanak.

Di Malaysia, trend sama turut berlaku dengan peningkatan ketara kes dalam kalangan kanak-kanak sekolah daripada 6.34 bagi setiap 1,000 pada 2018 kepada 9.29 bagi setiap 1,000 pada 2022.

Malah, jumlah diagnosis dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 15 tahun lalu.

Apa lebih membimbangkan bukan sekadar peningkatan angka, tetapi kelewatan dalam pengesanan awal. Jika negara maju mampu mengesan seawal usia dua hingga tiga tahun, Malaysia berada pada julat lima hingga tujuh tahun, satu tempoh kritikal menentukan keberkesanan intervensi.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Ts. Dr. Shamsul Arrieya Ariffin berkata, kelewatan ini memberi kesan besar terhadap perkembangan komunikasi, tingkah laku dan pembelajaran kanak-kanak autisme.

Dalam konteks ini, AI dilihat berpotensi menjadi ‘game changer’ dengan keupayaan menganalisis corak tingkah laku dan ekspresi untuk saringan awal dengan ketepatan melebihi 80 peratus.

“Teknologi sahaja tidak mencukupi. Realiti di lapangan menunjukkan keluarga terpaksa menanggung kos tahunan sekitar RM35,000 bagi rawatan dan terapi, sekali gus mewujudkan tekanan kewangan jangka panjang.

“Berbeza dengan negara yang mempunyai sistem insurans kukuh, sokongan kewangan di Malaysia masih belum menyeluruh, menyebabkan akses kepada rawatan berkualiti menjadi tidak seimbang,” katanya.

Dalam sektor pendidikan, AI membuka ruang pembelajaran lebih peribadi dan fleksibel. Kandungan boleh disesuaikan mengikut keperluan pelajar, sama ada berasaskan visual atau pengulangan berstruktur.

Pendekatan ini telah dilaksanakan di negara seperti United Kingdom dan China, namun ia turut menimbulkan persoalan besar berkaitan privasi data dan etika.

Model India pula lebih praktikal untuk Malaysia dengan pendekatan kos rendah melalui platform mudah alih, khususnya di luar bandar.

“Malaysia tidak ketinggalan dari segi dasar apabila telah memperkenalkan Pelan Induk AI Kebangsaan dan inisiatif berkaitan. Cabaran utama adalah pelaksanaan secara menyeluruh dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

“Peranan institusi pengajian tinggi juga kritikal dalam memastikan teknologi AI disesuaikan dengan konteks tempatan, bukan sekadar meniru model Barat,” katanya.

Secara keseluruhan, AI berpotensi besar memperkasa pendidikan autisme di Malaysia, terutama dalam aspek saringan awal dan pembelajaran adaptif.

Tanpa penyelesaian kepada isu asas seperti akses, kos dan latihan guru, teknologi ini berisiko menjadi sekadar pelengkap, bukan penyelesaian sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN