PETALING JAYA – Seorang anggota bomba dipuji orang ramai apabila tindakannya memberikan kata-kata semangat sehingga menusuk hati dalam usaha menyelamatkan seorang lelaki yang bertindak mahu ‘mengambil nyawanya sendiri’.
Menerusi video dikongsikan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya pada TikTok Ijatceloreng memperlihatkan, seorang anggota bomba sedang memberi pesanan kepada lelaki tersebut di satu tempat pada waktu malam, namun tidak diketahui lokasi berkenaan.
“Setiap orang ada masalah, jangan anggap satu orang tak sayang kita, 100 orang tak sayang kita. Orang paling sayang kita ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan kita. Ingat kalau ada masalah tak boleh (selesai), cari seseorang.
“Bunuh diri bukan jalan penyelesaian. Kau akan sedihkan ibu ayah kau, adik-beradik. Kita lelaki kena kuat, pegang cakap acik ni. Apa yang berlaku, cuba selesai cara baik, jangan ambil penyelesaian bunuh diri.
“Semua orang ada masalah, masalah kewangan, hubungan, tapi cara macam mana selesaikan dan uruskan. Jangan fikir ada orang tak suka dan benci kita, tak ada orang sayang kita,” katanya.
Anggota bomba itu juga berpesan kepada lelaki tersebut untuk terus kuat meneruskan hidup.
“Kalau kau lemah, macam mana nak uruskan isteri kau. Kau sayang dia? Kalau kau lemah, dia suka tak? Ingat cakap acik, sebelum apa-apa fikir sayang diri sendiri.
“Kamu untung ada orang sayang kamu lagi sebab sanggup kami datang selamatkan kau. Kitorang semua sayang kau. Nak nangis, boleh nangis kalau nangis tu boleh legakan diri kau, nangis puas-puas tak payah malu,” katanya.
Menerusi ruangan komen, orang ramai turut bersimpati dengan lelaki tersebut selain berterima kasih kepada anggota bomba yang datang menyelamatkannya.
“Suara abang yang duduk tu menusuk hati betul bagi nasihat,” komen seorang pengguna TikTok.
“Dengar pesan acik bomba, jangan fikir diri sendiri, yang susah keluarga nanti. Dekatkan diri kepada Allah, serah segalanya kepada Allah. Insya-Allah ada jalannya setiap ujian yang Allah bagi, tetap ada jalan daripada-Nya,” komen seorang individu.
“Terima kasih abang bomba kerana memberikan sokongan moral. Semoga semua bomba dimurahkan rezeki selalu,” kata individu lain. – KOSMO! ONLINE
@ijatceloreng “Kami sayang kau dik”🥺 full video di youtube ijat celoreng link ada di bio👆🏻@Izzat izwan #ijatceloreng #bombamalaysia ♬ Sedih Menyentuh Perasaan – Yuda Pratama














