PETALING JAYA – Permintaan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang sebelum ini menyuarakan hasrat kepada mana-mana menteri untuk menjadi mentor politiknya mendapat respons pantas daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, semalam.
Menerusi satu hantaran di laman Threadsnya, usahawan terkenal itu yang mesra disapa ‘Papa’ menyatakan hasratnya untuk belajar mengenai dunia politik selepas mendakwa ramai pihak yang memintanya berbuat demikian.
“Disebabkan ramai orang yang menyeru papa untuk jadi ahli politik, ada tak yang sudi ajar papa, tolong mana mana menteri. Papa perlu diajar dan rasa siapa patut jadi mentor papa,” katanya.
Hantaran tersebut kemudiannya menarik perhatian Asyraf Wajdi yang secara terbuka mempelawa Aliff untuk memulakan langkah politiknya bersama UMNO.
“Jom masuk UMNO,” balasnya ringkas.
Meninjau ke ruangan komen, tindakan spontan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna dimana mereka menyokong niat jutawan kosmetik itu.
Seorang pengguna, Zelozyxw, menyifatkan bahawa hantaran tersebut merupakan satu sahutan memandangkan Aliff sedang mencari bimbingan daripada barisan kementerian yang mempunyai pengalaman dalam bidang politik ini.
“Papa kena jadi menteri pelancongan dan promosi Malaysia ini di mata dunia,” kata pengguna @kuettt.
“Ini tawaran yang pertama papa, yang lain sombong,” seloroh pengguna @danielasri.
Orang ramai turut terhibur melihat interaksi tersebut kerana ia merupakan satu komunikasi yang lebih santai antara pemimpin politik dan seorang usahawan terkenal. – KOSMO! ONLINE














