fbpx

3 tapak lombong pasir haram di Kedah diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Briged Utara PGA dan PTG Kedah menyerbu tiga tapak perlombongan haram di daerah Kuala Muda dan Kulim pada semalam. - Foto ihsan Briged Utara PGA

ALOR SETAR – Kegiatan perlombongan pasir didakwa dilakukan secara haram di Kuala Muda, Bukit Selambau dan Kulim dipercayai sejak setahun lalu tumpas apabila diserbu pada semalam.

Serbuan bermula kira-kira pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari itu dilakukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara, Cawangan Risik Batalion 1 dan 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam operasi bersepadu itu, seramai 13 pekerja lelaki tempatan berusia 20 hingga 70 tahun dicekup.

“Kita bertindak merampas empat jengkaut, enam lori, masing-masing sebuah jentolak dan traktor serta dua rumah penyedut pasir berserta enjin.

“Turut dirampas lain-lain kelengkapan yang disyaki digunakan untuk mengekstrak pasir secara haram dari sungai di Kulim, Kuala Muda dan Bukit Selambau dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah RM2.83 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil soal siasat awal mendapati pemilik bagi setiap tapak perlombongan itu disyaki menjalankan aktiviti haram tersebut sejak kira-kira setahun lalu.

“Suspek dipercayai menjual pasir tersebut untuk pasaran berdekatan dengan harga kira-kira RM400 bagi muatan sebuah lori,” ujarnya.

Beliau berkata, semakan lanjut juga mendapati pemilik tiga tapak yang merupakan individu berlainan itu tidak memiliki permit atau lesen daripada PTG negeri untuk mengekstrak pasir dari sungai.

“Kejayaan menghidu kegiatan haram ini dapat mematahkan usaha sindiket untuk mengaut keuntungan dengan menipu kerajaan negeri,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua pekerja yang ditahan dilepaskan setelah keterangan mereka diambil PTG dan kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.

“Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI