PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan lelaki mengasari seorang gelandangan yang sedang berehat di tepi sebuah restoran makanan segera di ibu kota mendapat kecaman ramai.
Menerusi rakaman berdurasi 38 saat yang dikongsi di laman X, sekumpulan lelaki yang dipercayai pekerja restoran makanan segera berkenaan dilihat menghampiri seorang gelandangan yang sedang berehat di kaki lima.
Tidak berapa lama kemudian seorang daripada kumpulan lelaki tersebut dilihat menendang gelandangan berkenaan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki tersebut yang disifatkan sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa tindakan lelaki tersebut ialah kerana gelandangan berkenaan dikatakan mengotorkan kaki lima tersebut dengan membuang air kecil dan besar di merata tempat.
“Bila orang ramai boikot tempat kerja kau, bukan main menangis. Bila masyarakat bagi peluang, kau sepak orang yang lagi lemah dari kau,” kata Khairul.
“Dia kencing ke, dia berak ke kau tak ada sebab nak terajang orang. Nak halau angkat dia bawa ke tempat lain atau hubungi pihak berkuasa. Bila dah ‘viral’, tak nampak pun tindakan kau ada sebab yang baik,” kata Yungyuno.
“Kalau dah luar dari kedai, mereka ada hak lagi ke. Kalau betul-betul depan pintu tu fahamlah,” kata Tutu. – KOSMO! ONLINE