KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara terus mempamerkan aksi cemerlang di pentas Piala Asia 2025 apabila membenam cabaran Singapura menerusi keputusan 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Tanpa memberi ruang buat regu lawan, Malaysia mencatat kemenangan meyakinkan secara straight set 15-9, 15-6, sekali gus mengukuhkan cengkaman di persada kumpulan.
Menariknya, kesemua pemain negara diberi peluang beraksi, termasuk Muhammad Haziq Hairul dan Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong, manakala Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) tampil menyinar dalam kedua-dua set.
Pada perlawanan tersebut, Malaysia menurunkan kombinasi pemain berbeza dalam kedua-dua set, namun tetap terlalu ampuh buat Singapura yang sekadar mampu bertahan sebentar sebelum tumbang.
Aksi bertenaga dalam dua perlawanan berturut-turut menjadikan regu Malaysia antara pasukan paling konsisten setakat ini, apabila turut mudah menewaskan Nepal 15-6, 15-6 dalam aksi pembukaan sebelah petang sekali gus menghantar amaran awal kepada pencabar lain, terutama dalam misi memburu slot ke pentas final.
Singapura yang menurunkan regu utama dilihat tidak mampu menyekat tempo permainan tinggi anak buah Ahmad Mohd. Zin yang mengawal gelanggang dengan tenang dan penuh keyakinan.
Kemenangan ke atas Singapura meletakkan Malaysia di puncak Kumpulan D dengan dua kemenangan bersih dan hanya selangkah lagi untuk mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati. -KOSMO! ONLINE