WASHINGTON – Rundingan nuklear pusingan keempat antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencatatkan keputusan memberangsangkan untuk pentadbiran Presiden Donald Trump, lapor agensi berita United Press International.
Rundingan melibatkan Utusan White House, Steve Witkoff bersama wakil Kementerian Luar Iran, Abbas Araghchi itu berlangsung selama tiga jam di Muscat.
“Perbincangan sekali lagi diadakan secara langsung dan tidak langsung,” demikian menurut seorang pegawai berkaitan.
Pertemuan itu diadakan beberapa hari sebelum lawatan Trump ke Asia Barat bermula pada minggu ini.
Kementerian Luar Iran menyifatkan proses rundingan tersebut sebagai ‘sukar tetapi berguna’, manakala pegawai kanan AS menyifatkannya sebagai ‘menggalakkan’.
“Kami berpuas hati dengan keputusan hari ini dan menantikan pertemuan seterusnya yang akan berlaku dalam masa terdekat,” kata seorang pegawai AS semalam.
Menteri Luar Oman, Sayyid Badr al-Busaidi berkata di laman X bahawa kedua-dua pihak membincangkan ‘idea berguna dan asli yang mencerminkan hasrat bersama untuk mencapai persetujuan terhormat.’ – AGENSI