fbpx
Lebih 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima. - Gambar hiasan

Sanggupkah beri peluang haji kepada yang belum?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sedar atau tidak, tempoh menunggu giliran menunaikan haji bagi umat Islam di negara ini mencecah hampir 150 tahun. Ia bermaksud jika anda mendaftar untuk menunaikan haji hari ini, maka giliran untuk anda menunaikan haji ialah 150 tahun lagi.

Ketika ini, lebih 3.8 juta pendeposit Tabung Haji (TH) telah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu. Ramai daripada yang sudah berumur tetapi baru mendaftar, kelihatannya harapan untuk menunaikan haji bagaikan satu impian yang agak mustahil.

150 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Dengan jumlah umat Islam yang mendaftar haji semakin bertambah, manakala kouta haji pula yang terhad, peluang untuk menunaikan haji kelihatannya semakin sukar.

Ironinya, di sebalik tempoh giliran panjang itu, terdapat segelintir dalam kalangan jemaah yang pergi menunaikan haji saban tahun, terdiri daripada mereka yang sudah menunaikan haji sebelumnya.

Semuanya kerana, sebelum ini Tabung Haji membenarkan individu yang telah menunaikan haji untuk mendaftar semula sejurus selepas pulang dari Tanah Suci.

Amalan itu menyebabkan ada yang mendapat peluang ke Tanah Suci lebih daripada sekali, bahkan ada yang kali ketiga atau lebih.

Walaupun kini, peraturan tersebut telah diubah, namun jumlah mereka yang mendaftar semula ramai juga.

Sedangkan bagi mereka yang belum pernah pergi haji tetapi terlambat untuk mendaftar atas pelbagai faktor terpaksa menunggu masa yang lama untuk ke Tanah Suci.

Persoalannya, bersediakah mereka yang telah pergi haji tetapi masih mendapat peluang kedua atau ketiga untuk memberi laluan kepada mereka yang belum ke Mekah?

Dalam semangat kasih sayang sesama Islam, rasanya elok kepada mereka yang telah menunaikan haji mempertimbangkan untuk tidak mengambil peluang kali kedua, kecuali atas keperluan tertentu.

Memberi peluang kepada orang lain untuk menunaikan haji bukan sahaja menunjukkan sifat ihsan, tetapi juga pengorbanan yang memberi saham pahala kepada mereka yang mempermudahkan urusan saudara seislam.

Lebih-lebih lagi ketika ramai dalam senarai menunggu itu sebenarnya belum pernah menjejakkan kaki ke Mekah pun, manakala umur mereka pula semakin lanjut.

Pihak Tabung Haji wajar meneliti mengenai syarat kelayakan untuk haji berulang ini, kecuali atas sebab-sebab yang munasabah seperti menjadi mahram, mengiringi warga emas yang uzur atau keperluan khas lain.

Masyarakat juga harus dididik tentang keutamaan memberi laluan kepada orang lain lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana tempoh menunggu terlalu lama. Sifat mementingkan diri tidak seharusnya menjadi budaya.

Akhirnya, sanggup atau tidak seseorang memberi laluan bergantung pada kefahaman, kesedaran dan keikhlasan hati. Jika kita faham bahawa ibadah haji adalah kewajipan sekali seumur hidup, maka berilah peluang kepada saudara kita yang masih menunggu.

Sikap ini mencerminkan iman dan kasih sayang, semoga ramai yang terbuka hati dan sanggup memberi laluan demi kemaslahatan ummah yang lebih luas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN