fbpx
GELOMBANG Merah yang sering menggerunkan lawan yang datang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sudah tidak lagi dirasai ekoran prestasi buruk Kelantan FC.

Peminat rindu TRW yang pernah menang tiga kejuaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAUDARA PENGARANG,

Kelantan FC atau lebih dikenali The Red Warriors (TRW) pernah memenangi gelaran ‘trebel’ iaitu tiga kejuaraan melibatkan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2012.

Kejuaraan itu diraih skuad TRW sebelum Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi kuasa besar dalam saingan Liga Malaysia.

Semua peminat bola sepak di Kelantan khususnya sentiasa mengimbau sejarah tersebut lebih-lebih lagi apabila pasukan tersebut sudah lenyap daripada saingan Liga Malaysia sejak dua musim lalu berikutan masalah kewangan selepas bertukar pengurusan.

Gelaran ‘trebel’ itu sahaja yang menjadi modal untuk berbual tentang bola sepak di Kelantan kerana sudah tiada kejayaan lain pasukan TRW yang mampu diperkatakan dalam tempoh terdekat.

Hanya itu sahaja yang boleh disohorkan oleh peminat bola sepak di Kelantan ketika melihat JDT yang jauh lebih berjaya dalam era bola sepak moden.

Kini, TRW sudah berkubur dan Kelantan ketika ini diwakili oleh pasukan Kelantan Darul Naim (KDN FC) yang masih ‘nyawa-nyawa ikan’ bersaing dalam Liga Super musim lalu.

KDN FC pada musim lalu menduduki tangga tercorot liga ketika ini sedang menjalani proses penstrukturan semula untuk mendapatkan lesen Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selain menunggu keputusan First Instance Body (FIB) sama ada kekal atau sebaliknya di Liga Super.

Masalah utama KDN FC pada musim lalu adalah pasukan tersebut berdepan tunggakan gaji pemain selama tujuh bulan.

Selain itu, kemunculan Kelantan Red Warrior (KRW) di pentas A1 Semi-Pro pada musim lalu diharap mampu menepati cakap-cakap orang bahawa pasukan itu bakal menggantikan TRW tidak lama lagi.

Justeru, diharap kebangkitan semula KDN FC dan pembaharuan yang dilakukan oleh KRW mampu memberi nafas baharu kepada bola sepak di Kelantan.

Percayalah, rakyat Kelantan sentiasa dahagakan hiburan iaitu perlawanan bola sepak yang berkualiti dibawakan pasukan dari negeri Che Siti Wan Kembang di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu sejak sekian lama.

Peminat setia
Kota Bharu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN