KUALA LUMPUR – Kejohanan Fightnight Muaythai International (FMI) 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa 24 Mei ini dijangka berlangsung dalam kedaan penuh meriah.
Kejohanan anjuran Kelab Muay Thai Kala Merah (KMKM) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan Persatuan Muay Thai Kuala Lumpur (PMKL) bakal disertai petarung dari enam negara.
Kejohanan itu sudah pun berjaya menarik penyertaan lebih 250 petarung amatur dan 18 petarung profesional yang mewakili Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Iran dan Yaman.
Pengerusi KMKM, Datuk Hairudin Yunos berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar medan pertempuran, malah boleh menjadi pentas memupuk perpaduan serta mempromosikan pelancongan sukan.
“Kejohanan ini dijangka mampu menarik lebih 5,000 pengunjung meliputi atlet, pegawai teknikal, NGO, penaja serta peminat sukan tempatan dan antarabangsa.
“Fight Night bukan sekadar mencari publisiti kerana kami menjanjikan barisan petarung terbaik dengan latar belakang kukuh dari kelab-kelab hebat di dalam dan luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga penaung kejohanan menjelaskan, antara objektif penganjuran adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan muaythai dunia selain mencungkil bakat baharu.
Orang ramai yang berminat untuk menyaksikan pertarungan muay thai itu boleh mendapatkan tiket secara dalam talian di laman https://www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE