Aliff Rakib (tiga dari kiri) bersama keluarganya memegang replika kunci rumah bernilai RM1 juta pada majlis meraikan wira negara Muay Thai di Lembah Sireh, Kota Bharu hari ini.

Aliff Rakib hadiah banglo RM1 juta buat ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau Aliff Rakib, 22, membuat kejutan apabila menghadiahkan sebuah banglo bernilai RM1 juta kepada ibu bapanya.

Hadiah istimewa itu diberikan kepada Suriati Che Wook, 46, dan Rakib Ahmad, 53, ketika majlis semasa majlis meraikan jaguh Muay Thai negara itu di Lembah Sireh di sini hari ini.

Pengumuman itu membuatkan kedua ibu bapanya tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata sejurus menerima kejutan tersebut.

Aliff Rakib berkata, pemberian rumah berkenaan adalah tanda penghargaan dan membalas jasa kedua-dua ibu bapanya yang banyak memberikan sokongan sehingga dia berjaya mencapai tahap sekarang.

“Alhamdulillah, hasil simpanan wang selama ini saya berjaya mengumpulnya dan menghadiahkan rumah banglo bernilai RM1 juta yang terletak di Rantau Panjang.

“Saya akan mengadakan majlis kesyukuran pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 2,000 rakyat Kelantan hadir meraikan kepulangan Aliff Rakib yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia juga akan membawa kedua-dua ibu bapa untuk menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Aliff memberitahu, selain itu, dia juga akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya dari Thailand dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, Aliff Rakib mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN