PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menafikan dakwaan terdapat kuota khas pinjaman pelajaran bagi anak kakitangannya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Mara dalam satu kenyataan berkata, kelayakan pinjaman adalah berdasarkan syarat akademik yang ditetapkan dan permohonan pinjaman adalah melalui sistem permohonan pinjaman pelajaran Mara sahaja.
“Justeru, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai atau terpedaya dengan mana-mana pihak lain yang mengeluarkan maklumat tidak tepat mengenai Mara.
“Sebarang kenyataan mengenai apa-apa kemudahan Mara hendaklah dirujuk secara rasmi kepada pihak Mara, laman sesawang rasmi Mara atau media sosial rasmi Mara sahaja,” katanya.
Katanya, pihak Mara menghargai usaha orang awam yang melakukan semakan dan mendapatkan kepastian atau pengesahan daripada pihak
Mara terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan atau komen dalam mana-mana platform media sosial.
Terdahulu, seorang pempengaruh tular selepas memuat naik video mengenai cara melanjutkan pelajaran di luar negara dengan tajaan Mara.
Kenyataan individu tersebut yang menyatakan dia mendapat tajaan kerana merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara dan anak kepada kakitangan Mara kemudian menimbulkan pertikaian dalam kalangan netizen. – KOSMO! ONLINE