JOHOR BAHRU – Perkhidmatan Kargo Pasir Gudang-Kempas Baru, di sini kembali beroperasi semula setelah melalui proses menaik taraf membabitkan kos keseluruhan RM55 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek menaik taraf itu disiapkan lebih awal dalam tempoh enam bulan sahaja berbanding masa 24 bulan yang diberikan.
Katanya, projek naik taraf itu membabitkan pembinaan sistem perparitan baharu, penggantian trek dan batu kelikir serta peningkatan sistem isyarat dan keselamatan.
“Landasan Perkhidmatan Kargo sepanjang 40 kilometer ini menghubungkan tiga jajaran utama iaitu Kempas Baru, Seelong dan Pelabuhan Johor, Pasir Gudang mula beroperasi mulai hari ini selepas ditutup sementara sejak Oktober tahun lalu.
“Pembukaan semula laluan ini telah meningkatkan kekerapan perjalanan kereta api kargo daripada dua kepada enam perjalanan sehari, serta melonjakkan jumlah pengendalian kontena dari 140 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 420 TEUs sehari,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Pasir Gudang -Kempas Baru, di sini hari ini.
Siew Fook berkata, pembukaan semula perkhidmatan kargo itu akan mengurangkan keberadaan lori treler sehari di rangkaian jalan raya di negeri ini dan negeri lain selain lebuh raya utama.
Menurutnya, ia juga akan memperkukuh sambungan antara Pelabuhan Pasir Gudang dengan pelabuhan utama lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang serta ke Kuantan. – KOSMO! ONLINE