fbpx

Sultan terkejut 10,600 hektar tanah diceroboh di Raub sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal ketika meninjau kawasan penerokaan durian musang king di Hutan Simpan Sungai Klau di Raub hari ini.

RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut dan dukacita terhadap pencerobohan tanah seluas 10,600 hektar yang berlaku di daerah Raub akibat aktiviti penanaman durian secara haram.

Baginda bertitah, jumlah tersebut disifatkan sebagai angka yang sangat besar sekali gus menunjukkan isu pencerobohan tanah secara haram yang semakin berleluasa di negeri itu tidak boleh dipandang ringan.

“Setelah mendengar taklimat daripada penguat kuasa negeri, saya begitu terkejutlah dengan angka yang dikeluarkan tadi, 26,000 ekar (10,600 hektar) di daerah Raub sahaja dan ini adalah satu angka yang sangat besar.

“Namun tindakan seterusnya perlu dibuat dan saya harap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti haram ini diteruskan,” titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan durian musang king di Hutan Simpan Sungai Klau di sini hari ini. Turut sama berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sultan Abdullah bertitah, isu pencerobohan tanah haram ini perlu dinoktahkan dan diselesaikan secara baik mengikut lunas undang-undang.

Ujar baginda, mana-mana pihak yang hendak memiliki tanah perlu membuat permohonan secara rasmi melalui proses-proses yang ditentukan oleh pihak kerajaan.

“Kalau (pencerobohan tanah) ini dibiarkan seolah-olah kita tidak ada pihak penguat kuasa, tidak ada pejabat hutan, tidak ada pejabat tanah, tidak ada pejabat MB (Menteri Besar) dan sebagainya.

“Kita boleh berusaha untuk menoktahkan perkara ini secara berperingkat-peringkat. Tak boleh buat secara mengejut dan sekali gus (kerana) itu mungkin susah sikit,” titah Sultan Pahang. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI