GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah terdiri empat suspek yang aktif melakukan samun dan pecah rumah di negeri ini, Kedah dan Perak, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang pada 3 Mei lalu berjaya membawa kepada tangkapan suspek tempatan berusia antara 23 hingga 34 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan di Kepala Batas, Bukit Mertajam, Nibong Tebal dan Parit Buntar di Perak.
“Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Kesemua mereka telah direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Mei untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hamzah, hasil operasi tersebut, polis turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah televisyen dan empat buah kenderaan yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE