fbpx

Menteri Kerja Raya nafi tuduhan terlibat skandal rasuah projek Pan Borneo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander merasmikan Simposium Cerun Negara 2025 di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan berhubung penularan mesej di saluran Telegram yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal rasuah melibatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah (WP35).

Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, satu laporan polis juga telah dibuat semalam melalui Setiausaha Sulit Kanan beliau di Balai Polis Tun H.S. Lee berhubung perkara tersebut.

“(Tuduhan) itu memang tohmahan dan fitnah. Saya menafikan sekeras-kerasnya, ia tidak berlaku seperti yang dituduh, sebab itu saya telah buat laporan di Balai Polis Tun H.S. Lee.

“Ia merupakan fitnah yang tidak berasas. Saya juga harus melindungi nama Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Cerun Negara 2025 di sini hari ini.

Alexander berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan mesej di saluran Telegram pada Isnin lalu yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal rasuah melibatkan projek Pan Borneo.

Beliau juga melihat tuduhan yang dilemparkan berhubung perkara tersebut sebagai satu serangan peribadi.

Katanya lagi, apa yang lebih membimbangkan, mesej tersebut bukan sahaja tersebar di saluran Telegram, tetapi turut dikongsikan di pelbagai platform media sosial, sekali gus menimbulkan persepsi negatif dan prasangka dalam kalangan masyarakat.

Alexander turut menegaskan bahawa beliau bersedia memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi membantu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa fitnah tidak boleh menjadi alat untuk menjatuhkan reputasi mana-mana individu, lebih-lebih lagi demi kepentingan politik atau agenda peribadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI