PETALING JAYA – Pimpinan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyatakan sokongan terbuka bersama terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Keadilan.
Sokongan terbuka itu dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ketua Cabang Keadilan Gombak menerusi satu kenyataan media dengan sokongan pimpinan Cabang PRK Selangor.
“Nurul Izzah bukan orang baru. Beliau berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan, dihina, namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan.
“Beliau membina nama bukan kerana nama keluarganya, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.
“Nurul Izzah juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited,” katanya.
Selain itu, Nurul Izzah turut diiktiraf ketokohannya dalam dan luar negara, tetapi yang paling utama anggota parti mengetahui tentang beliau dan pengorbanannya untuk Keadilan.
“Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan Keadilan kekal relevan, progresif dan berwibawa.
“Kepimpinan Presiden memerlukan gandingan mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.
“Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan Keadilan yang lebih bersatu, matang dan membina,” katanya.
Menteri Besar Selangor itu berkata, PKR tidak hanya memerlukan pemimpin mahir berpidato atau memenangi kerusi, tetapi yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.
“Parti ini perlu seorang Timbalan Presiden tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti.
“Kita perlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan Keadilan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar,” katanya. – KOSMO! ONLINE