fbpx
Sebilangan ibu bapa tiada kemahiran mendidik anak terutamanya mereka yang sindrom Down atau autistik. - GAMBAR HIASAN

Ibu bapa pukul anak sebab stres, masalah emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANAK adalah amanah Tuhan kepada setiap ibu bapa yang perlu dididik, disayangi, dilindungi dan dijaga sebaik mungkin mengikut landas-landas agama serta akhlak yang tinggi.

Namun, mengapa ada sesetengah ibu bapa yang sanggup memperlakukan anak mereka sesuka hati, mendera malah sampai ke tahap membunuh?

Kebelakangan ini, semakin kerap kita membaca berita mengenai kanak-kanak didera ibu bapa, ditikam, dicabul, dirogol, bahkan dibunuh dengan begitu tragis.

Hancur luluh hati seorang ibu apabila penulis membaca berita seumpama itu dan membayangkan bagaimana kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa jenayah ibu dan bapa kandung mereka sendiri.

Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, tindakan ibu bapa yang melakukan jenayah terhadap anak mereka sering kali berpunca daripada pelbagai faktor psikososial kompleks seperti tekanan emosi dan mental.

“Kadangkala, ibu bapa mungkin menghadapi tekanan tinggi dalam kehidupan seperti masalah kewangan, hubungan perkahwinan yang tidak stabil atau masalah kesihatan mental. Keadaan ini boleh menyebabkan mereka kehilangan kawalan diri dan bertindak secara agresif dan impulsif,” katanya.

Tambah Mohd. Suhaimi, sebilangan ibu bapa mungkin tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran mencukupi dalam mendidik dan menguruskan anak, terutamanya apabila mempunyai anak istimewa seperti sindrom Down atau autistik.

“Disebabkan tidak tahu cara yang betul untuk menangani tekanan, konflik dan beban penjagaan ini, ramai yang hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah terhadap anak sendiri,” ujarnya.

Justeru, bagi mengelak keadaan itu daripada berlaku, ibu bapa yang berasa tertekan perlu mengamalkan teknik pengurusan stres yang berkesan seperti meditasi, relaksasi dan menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal yang dapat menenangkan diri sendiri dan berfikir sebelum bertindak.

Mohd. Suhaimi berkata, mereka perlu membina sokongan sosial yang bermakna daripada keluarga, rakan-rakan dan individu signifikan lain dalam menyelesaikan krisis dan konflik secara berhemah selain mendapatkan bantuan kaunseling daripada profesional.

Penulis pasti, semua ibu bapa pernah berasa seperti mahu memukul anak mereka sekuat-kuatnya atau melakukan perkara di luar jangkaan apabila tertekan dan dihimpit dengan pelbagai masalah.

Ia adalah perasaan normal, namun akan berubah menjadi jenayah sekiranya kita tidak mampu mengawal emosi, berfikir secara rasional dan yang lebih penting, meletakkan agama sebagai garis panduan hidup kita.

Jika ketika kecil, nyamuk pun kita tidak benarkan sentuh anak kita, mengapa ketika mereka sudah menjadi kanak-kanak, kita tergamak mencederakan dan menyakiti mereka?

Anak bukan beban, bukan musuh kita, mereka hanya mahu disayangi dan dilindungi oleh orang yang paling dipercayai di dunia ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN