ANEKA sajian ditawarkan di restoran ini dengan suasana klasik.

Lomak Salai tampil ‘vibe’ klasik Nogori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, premis yang sebelum ini dikenali sebagai Hentian Sebelah Tampin terbiar lebih 10 tahun berubah menjadi tempat tumpuan penggemar makan-makan ‘vibe’ klasik ‘Nogori’.

Malah, premis yang mula diambil alih pada tahun 2021 dan kemudiannya mula beroperasi pertengahan tahun 2022 itu kini menjadi salah satu tarikan pelancong tempatan dan luar negara untuk merasai keenakan makanan Nismilan (Negeri Sembilan).

Jadi, jika anda teringin untuk menikmati sajian-sajian bercita rasa Negeri Sembilan, restoran terletak di Tampin yang menyajikan aneka makanan Nogori termasuk lemak salai patut dikunjungi.

Menurut Pengurus Bahagian Makanan dan Minuman (F&B) Lomak Salai, Norazlinda Mohd. Deli, 41, sejajar dengan peningkatan pengunjung ke lokasi tersebut, pihaknya menerima permintaan menggalakkan sehingga turut mengadakan bufet Ramadan.

“Kalau hari biasa, sekitar 100 pelanggan hadir, namun pada cuti umum, mahupun hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad, jumlah pengunjung meningkat melebihi kapasiti tempat ini yang boleh menempatkan 300 orang dalam satu-satu masa.

SAJIAN yang ditawarkan pasti memenuhi cita rasa mereka yang gemarkan masakan Nogori.

“Jadi, mereka boleh beratur, manakala bagi warga emas atau yang membawa bayi mereka boleh menunggu di ruang klasik kami di bahagian belakang terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui CitaRasa.

Menurut Norazlinda, perniagaan makanan itu merupakan hasil idea dua beradik Muhammad Hafizuddin Bujang, 31, atau lebih dikenali sebagai Paktam dan Muhammad Shariffufdin Bujang, 37, yang dikenali sebagai Pakdin.

Di restoran ini, lebih 50 menu yang ditawarkan untuk para pengunjung.

“Antara menu tarikan di Lomak Salai yang sering dicari pengunjung ialah masak lomak daging salai, ikan keli, siput sedut, ikan baung, ikan patin selain lamb shank dan juga rebung perut,” katanya.

Malah menurut Norazlinda, nama menu air juga biasanya mengetengahkan keistimewaan nama-nama suku dalam Negeri Sembilan seperti air oren Anak Acheh, katira Biduando, anggur Tigo Nenek, sirap Batu Belang dan lain-lain lagi.

“Dekat sini konsepnya macam stall, setiap stall ada menu yang berasingan lebih kurang enam ke 10 menu macam tu. Ada stall selera Nogori iaitu masakan lemak negeri sembilan, ada stall goreng dan sambal juga,” katanya.

MASAKAN lemak salai sinonim dengan Negeri Sembilan.

Menurutnya, selain itu, Lomak Salai yang mempunyai sekitar 40 pekerja termasuk sambilan turut menawarkan menu kuih-muih seperti pisang goreng kerana rata-rata pelanggan amat menyukai menu seperti ini. 

“Kita harap Lomak Salai ini akan semakin dikenali dan seterusnya dapat menjadi lokasi wajib dikunjung penduduk dari dalam dan luar, tambahan pula tidak lama lagi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,” katanya.

Menurut Norazlinda, mereka juga tidak menyangka, tempat yang dahulunya sukar dijadikan tarikan susulan beberapa kekangan seperti perlu mendaki bukit terlebih dahulu, kini menjadi tumpuan bagi orang ramai menjamu selera.

“Alhamdulilah, setiap tahun memang ada peningkatan. 

“Macam tahun ini juga merupakan tahun ketiga kita buat bufet Ramadan. Tahun depan pula Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, kita cukup teruja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN