fbpx
Dari Kuala Lumpur hingga ke Sabah, aktiviti piknik membaca senyap beramai-ramai di kawasan taman, tepi tasik dan pantai semakin menjadi minat orang ramai di banyak negeri pada pagi hujung minggu.

Piknik baca senyap menular ke seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“KENAPA tidak lakukan amalan membaca di taman di Malaysia? Dan kenapa bukan awak yang mulakan dulu amalan tersebut?”

Soalan itu diajukan kepada Victoria Navina selepas dia memuji usaha Cubbon Reads di India yang menganjurkan amalan membaca di tempat umum.

Bersama pujian yang dilakukan menerusi perbualan di media sosial tersebut, Navina turut menyatakan harapannya agar budaya sebegitu dapat berkembang di Malaysia.

Benar, amalan membaca di tepi tasik, taman dan sungai yang dilakukannya ketika menuntut jurusan perubatan di Moscow, Rusia tidak lagi diamalkan selepas dia pulang ke tanah air.

Cuaca Malaysia yang panas dan lembap sering dijadikan alasan mengapa aktiviti membaca di kawasan awam terbuka sukar dilakukan.

Namun, persoalan daripada pihak Cubbon Reads membuatkan wanita berusia 34 tahun itu terfikir sejenak sebelum nekad mencuba melakukan perubahan yang diimpikannya.

“Perbualan bersama kurator dan pengasas Cubbon Reads, Shruti Sah dan Harsh Snehanshu, telah memberi saya semangat untuk melakukan perubahan dalam amalan membaca di Malaysia, walaupun saya seorang introvert.

“Keesokan harinya selepas mendapat motivasi tersebut, saya keluar ke taman-taman berdekatan untuk meninjau lokasi yang sesuai dan memilih Taman Persekutuan Bukit Kiara, lalu melaksanakan edisi pertama pada Jun 2023,” katanya kepada CitaRasa.

Navina dan Sadho merupakan pelopor aktiviti membaca di taman atau kawasan outdoor di Malaysia.

Untuk makluman, Cubbon Reads ialah sebuah komuniti membaca secara senyap yang diasaskan pada Januari 2023 oleh Shruti Sah dan Harsh Snehanshu di Cubbon Park, Bengaluru, India.

Ia bermula sebagai inisiatif kecil apabila mereka berdua membaca bersama di bawah pokok setiap hujung minggu.

Namun, perkongsian mereka di media sosial menarik minat ramai dan komuniti ini berkembang pesat.

Kini, Cubbon Reads telah menjadi gerakan membaca global dengan lebih 70 cawangan di seluruh dunia, termasuk Malaysia melalui KL Reads.

Pada tahun pertama, sesi KL Reads yang diasaskan oleh Navina bersama pasangannya, Sadho Ram. Ia berlangsung di Taman Persekutuan Bukit Kiara sebelum taman tersebut ditutup untuk pengubahsuaian.

Menurut Navina, permulaan amalan membaca di tempat awam ini tidak mendapat sambutan hangat meskipun kini mampu menarik kehadiran sehingga 100 orang pembaca.

“Ada minggu-minggu tertentu, saya seorang sahaja yang hadir, tetapi saya tetap teruskan kerana bagi saya ini satu bentuk advokasi.

“Namun, dalam beberapa bulan berikutnya, jumlah peserta meningkat kepada puluhan orang setiap minggu,” katanya.

Kini, gerakan komuniti KL Reads telah berpindah ke Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur.

Komuniti Kota Kinabalu Reads yang sering membaca buku di Pantai Awam Teluk Likas, Sabah.

Biarpun sesi membaca senyap ini diadakan setiap Sabtu dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi, orang ramai bebas hadir dan membaca di luar waktu tersebut.

Oleh kerana ia bukan kelab buku, tiada perbincangan atau sesi intelektual berlaku sepanjang tempoh membaca.

Orang ramai dialu-alukan untuk membawa buku dan alas duduk, kemudian membaca bersama-sama dalam suasana senyap.

Kaedah tersebut memberi rasa kekitaan kepada mereka yang mahu membaca di tempat umum tanpa rasa keseorangan.

Sekiranya berlaku hujan atau cuaca tidak menentu, peserta bebas mencari tempat berteduh atau pulang mengikut keselesaan masing-masing.

Menariknya, gerakan membaca sebegini juga kini telah berkembang ke beberapa negeri lain seperti Selangor, Sabah, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang dan Kedah.

Menurut kurator Kuantan Reads, Nana Shaharin, pemilihan Taman Tasik Gelora untuk amalan Kuantan Reads sangat tepat kerana kawasan tersebut terkenal dengan suasana yang tenang dan sesuai untuk beriadah.

“Suasana pagi di Taman Gelora sangat nyaman dan sejuk, dengan udara segar, bunyi burung dan percikan air yang menenangkan.

Ini memberikan ketenangan yang berbeza berbanding membaca di dalam bangunan berhawa dingin,” katanya.

Wanita yang juga seorang usahawan tersebut berkata, ramai peserta mula menyertai selepas melihat mereka konsisten melaksanakan amalan membaca setiap minggu.

“Sesetengah peserta memilih untuk bersenam terlebih dahulu sebelum menyertai sesi membaca senyap.

“Ada juga yang hadir selepas melihat kami kekal konsisten menjalankan sesi ini setiap minggu,” katanya.

aktiviti sedemikian turut dilakukan oleh komuniti Kuantan Reads di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, kurator Kota Kinabalu Reads, Marcus Khoo memilih Pantai Awam Teluk Likas kerana lokasinya yang dekat dengan bandar, namun masih tenang.

Latar belakang Gunung Kinabalu yang dapat dilihat dari kejauhan menambah keunikan panorama buat tatapan para peserta ketika membaca.

Menurutnya, gabungan kelembutan bunyi ombak, angin laut yang segar dan pemandangan laut terbuka memberi hubungan erat antara pembaca dan alam sekitar.

“Masyarakat dari pelbagai lapisan hadir dalam sesi kami, termasuk keluarga dengan anak kecil, pelancong dan pengunjung tempatan.

Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada golongan berusia antara 25 hingga 35 tahun,” katanya.

Di utara tanah air, dua individu, Dayna Chan dan Ramya turut terinspirasi daripada gerakan KL Reads apabila mereka menubuhkan Tanjong Tokong Reads.

Menurut mereka, amalan ini sangat bermanfaat kerana membolehkan orang ramai berkumpul untuk membaca dalam suasana tenang sambil menikmati alam sekitar serta mewujudkan komuniti yang positif.

“Saya rasa ramai yang mahukan ruang seperti ini, di mana mereka boleh membaca bersama-sama tanpa sebarang bayaran dikenakan.

“Kebetulan, di Tanjong Tokong ini kami memiliki kawasan pantai yang luas, justeru semua orang boleh memilih tempat duduk secara rawak.

“Ini juga menjadikan amalan ini terbuka tanpa had jumlah peserta pada satu-satu masa,” ujar mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN