KLANG – Nyawa seorang penunggang motosikal masih panjang biarpun dia dilanggar dan digilis sebuah kereta dalam kejadian pergaduhan di Taman Sentosa, di sini.
Kejadian mencemaskan itu menjadi tular selepas rakaman video berdurasi 49 saat dikongsikan di media sosial sejak malam tadi.
Berdasarkan rakaman video itu, penunggang motosikal yang memakai baju berwarna putih dilihat terjatuh di atas jalan selepas dilanggar sebelum digilis kereta berwarna merah.
Orang awam yang berada di lokasi kejadian menjerit meminta penunggang motosikal tersebut bangun untuk menyelamatkan diri selepas melihat tindakan agresif pemandu kereta yang seperti ‘naik hantu’.
Selain itu, mereka turut memarahi pemandu kereta tersebut kerana tindakannya melanggar lelaki berkenaan.
Setakat ini punca sebenar kejadian itu masih belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa mengesahkan kejadian dan memberitahu, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE