BANYAK air mata yang berjuraian saat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan kelmarin. Ada yang berkongsi kegembiraan bersama rakan dan guru di sekolah, ada juga yang memilih untuk meraikannya bersama ibu bapa.
Hakikatnya, SPM bukanlah calang-calang peperiksaan. Ia ibarat ‘ibu peperiksaan’ kepada pelbagai bentuk ujian yang ada di sekolah.
SPM juga adalah ujian terakhir di sekolah menengah yang menjadi syarat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam pengumuman keputusan SPM kelmarin, banyak intipati penting dibentangkan termasuk jumlah calon yang menduduki SPM 2024 iaitu seramai 402,918 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 14,179 berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A dalam semua mata pelajaran, manakala 1,789 calon lagi mencatat keputusan gagal semua mata pelajaran.
Satu lagi fakta penting iaitu seramai 8,076 calon SPM tidak hadir bagi menjawab semua kertas peperiksaan.
Daripada huraian di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa SPM itu tidak hanya menjanjikan kisah-kisah gembira, tetapi juga berita sedih.
Persoalan kini, ke mana arah tuju dan perancangan anak-anak ini selepas mengetahui keputusan SPM masing-masing?
Secara logiknya, bagi yang cemerlang, hala tuju mereka sudah pastinya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ada beberapa laluan yang boleh dipilih dan semuanya bergantung kepada minat selain keputusan peperiksaan.
Antara pilihan paling popular (bagi pelajar cemerlang) sudah pastinya di peringkat Asasi.
Program pra-universiti selama 1 tahun ini biasanya disediakan di beberapa universiti utama seperti Asasi Sains Universiti Malaya (UM) dan Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan bidang tertentu seperti perubatan dan kejuruteraan.
Satu lagi pilihan popular dalam kalangan lepasan SPM adalah matrikulasi, iaitu program yang berada di bawah KPM.
Program ini sebenarnya memberi laluan cepat kepada mana-mana pelajar untuk meneruskan pengajian ke universiti awam.
STPM atau nama penuhnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia juga menjadi antara pilihan bagi pelajar lepasan SPM.
Dengan perkembangan dunia digital dan kecerdasan buatan (AI) ketika ini, TVET, Kolej Vokasional dan Politeknik adalah pilihan paling dicari oleh pelajar lepasan SPM. Progam ini banyak mengkhususkan kepada kemahiran teknikal dan vokasional, selain menjanjikan peluang kerja yang cukup tinggi.
Bagi mereka yang kurang berminat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi atau tidak layak untuk memohon mana-mana institusi, jangan risau kerana peluang untuk berjaya dalam hidup tidak pernah tertutup.
Di akhirnya, SPM hanyalah tiket untuk kita memilih laluan hidup, tetapi apa yang penting adalah usaha dan bagaimana kita merencana setiap laluan itu untuk menjadikan kita manusia yang berjaya.














