KOTA BHARU – Seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM26,000 selepas diperdaya lelaki yang mendakwa dirinya tinggal di United Kingdom.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa yang berusia awal 40-an telah berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan antarabangsa di negera itu melalui laman sosial Instagram pada bulan Ogos tahun lalu.
Katanya, ibu tunggal berasal dari Pasir Puteh itu telah memindahkan wang sebanyak RM2,200 ke satu akaun bank tempatan kononnya milik rakan suspek di negara ini bagi tujuan tempahan sebentuk cincin selepas mereka berdua menjalinkan hubungan cinta.
“Selepas sebulan berkenalan, suspek menyatakan akan datang ke Malaysia atas urusan menuntut harta milik arwah bapanya, namun meminta mangsa menanggung segala urusan perbelanjaannya sepanjang berada di di negara ini.
“Dalam tempoh sebulan, mangsa telah membuat transaksi pindahan wang ke akaun bank yang sama berjumlah hampir RM10,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ahmad Azizul, mangsa juga telah mengepos kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya ke alamat sebuah rumah di Selangor bagi memudahkan suspek mengeluarkan wang pada hujung September lalu.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan selepas itu, mangsa telah mendepositkan wang melebihi RM10,000 ke akaun bank miliknya tersebut bagi tujuan perbelanjaan suspek.
“Tidak cukup dengan itu, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM3,000 ke satu akaun bank tempatan yang berbeza bagi membantu suspek dalam urusannya membuat tuntutan harta milik arwah bapa suspek berjumlah RM3 juta pada awal tahun ini.
“Terasa diri tertipu dengan suspek, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh kelmarin selepas telah mengeluarkan wang sebanyak RM25,200,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K! ONLINE














