PUTRAJAYA – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang dikatakan membawa ajaran sesat ‘Agama Melayu’ yang bercanggah dengan Islam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Uzir Mohamed, pagi tadi.
“Polis akan membuat siasatan lanjut dan akan bincang dengan Peguam Negara jika ada kesalahan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Kosmo! 29 Januari lalu melaporkan orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan ajaran baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ yang didakwa sebagai sesat lagi menyesatkan.
Agama Melayu itu dikatakan menggunakan lafaz syahadah yang pelik (ila ha ila ra ila ma) dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali. -K! ONLINE