PETALING JAYA – Lebih 1,800 tetamu memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Divisyen Tol IJM yang berlangsung di Bluedome Grand Hall, Sapura@Mines, Seri kembangan dekat sini semalam.
Majlis yang bertemakan ‘Kemeriahan Syawal Diraikan Bersama’ itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai serta Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Ts. Wan Salwani Wan Yusoff, acara tahunan itu merupakan simbolik komitmen pihaknya dalam mengeratkan hubungan strategik bersama rakan-rakan strategik industri lebuh raya termasuk rakan-rakan media.
“Penganjuran majlis ini adalah sebahagian daripada Divisyen Tol IJM usaha untuk turut memupuk semangat muhibah dan tanda penghargaan serta mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan strategik yang berganding bahu bersama dalam menyokong usaha pembangunan infrastruktur dan lebuh raya negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, tetamu yang hadir turut dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional dan moden serta disajikan dengan persembahan bertemakan Aidilfitri yang menyerikan suasana majlis. – KOSMO! ONLINE