fbpx
Malaysia Blockchain Week (MYBW) memohon maaf berhubung kontroversi membabitkan bahan promosi majlis sampingan (‘after-party’) melibatkan mereka.

Isu majlis sampingan, Malaysia Blockchain Week mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA  – Malaysia Blockchain Week (MYBW) memohon maaf berhubung kontroversi membabitkan bahan promosi majlis sampingan (‘after-party’) programnya, sekali gus menjelaskan bahawa Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) tidak terlibat dalam perkara berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Jawatankuasa Penganjur MYBW mengakui kebimbangan yang dibangkitkan terhadap bahan promosi tersebut dan menegaskan komitmen berterusan untuk mengekalkan kepercayaan kerajaan, rakan kerjasama, penaja serta pihak berkepentingan.

Jawatankuasa itu menjelaskan Kementerian Digital dan MDEC tidak terlibat dalam pemilihan individu yang dipaparkan, mahupun dalam penganjuran dan promosi majlis sampingan berkenaan.

“Kami ingin menjelaskan secara tegas bahawa MDEC tidak dirujuk, tidak terlibat dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pemilihan individu yang dipaparkan, atau dengan penganjuran dan promosi majlis sampingan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, segala keputusan berkaitan majlis sampingan dibuat secara bebas oleh penganjurnya sendiri dan tidak mewakili pandangan, penglibatan atau sokongan mana-mana pihak sama ada kementerian mahupun MDEC.

Jawatankuasa berkenaan turut mengakui bahawa penelitian yang lebih rapi sepatutnya diberikan bagi memastikan setiap aktiviti dan bahan promosi yang dikaitkan dengan MYBW mencerminkan tahap profesionalisme yang sewajarnya bagi sebuah acara yang membabitkan pihak industri dan sektor awam.

Susulan kebimbangan yang dibangkitkan, penganjur memaklumkan langkah pembetulan telah diambil bagi menangani isu tersebut serta memastikan majlis sampingan itu dibezakan dengan jelas daripada program persidangan rasmi.

“Berkuat kuasa serta-merta, semua bahan promosi berkaitan majlis sampingan berkenaan telah ditarik balik,” kata jawatankuasa itu.

Meskipun berdepan kontroversi, jawatankuasa menegaskan MYBW 2026 akan tetap berlangsung seperti dijadualkan, dengan tumpuan kekal kepada usaha memperlihatkan inovasi, memudahkan penglibatan industri serta menyokong pertumbuhan ekosistem blockchain dan aset digital negara.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa proses kelulusan dalaman dan tadbir urus acaranya sedang dikaji semula bagi memperkukuh pengawasan dan akauntabiliti pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN