PUTRAJAYA – Malaysia dan China menguatkan tekad untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan selain teknologi baharu seperti inisiatif kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu turut melibatkan kerjasama membabitkan semua kaedah yang dibincangkan kedua-dua negara sejak sekian lama.
“Malaysia mengalu-alukan kedatangan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini, bukan saja sebagai Presiden kepada sebuah negara besar, tetapi juga sebagai sahabat yang sejati.
“Seperti yang saya nyatakan ketika pertemuan kita di China, Presiden Xi Jinping menjelaskan satu persona baharu, kepemimpinan, bercakap mengenai pertumbuhan dan pelaburan serta kemajuan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Dua Hala antara Malaysia dan China di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri Jinping dan Menteri Kabinet serta pegawai kedua-dua negara.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selepas mesyuarat berkenaan, kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri juga menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan delegasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE