RAUB – Penduduk daerah ini mendakwa pencerobohan tanah untuk penanaman durian musang king bukan sahaja dilakukan oleh orang tempatan, malah orang luar turut membuat pelaburan dengan membuka ladang raja buah itu.
Difahamkan, mereka mengupah orang tempatan untuk menjaga kebun-kebun musang king itu, namun tidak dapat dipastikan berapa luas ladang yang telah dibuka oleh orang luar berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar mendakwa, dia mendapat maklumat mengenai situasi itu kerana orang luar melihat pelaburan itu amat berbaloi kerana tanah Raub subur bagi musang king.
“Memang sejak kecil saya melihat tanah-tanah diceroboh untuk orang tanam musang king. Difahamkan ada juga orang luar datang untuk melabur tapi tidak pasti berapa luas ladang mereka.
“Baru-baru ini saya ada berbual dengan orang luar ketika berada di kedaipancing dan dia kata datang dari Kedah untuk tengok ladang durian di Raub tapi saya tidak pasti di kawasan mana,” katanya kepada Kosmo!.
Operasi penguatkuasaan bagi menebang durian musang king di tanah kerajaan bermula 8 April lalu yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 202.34 hektar di daerah Raub.
Menurut Abdullah, meskipun durian musang king banyak ditanam di Raub, namun harganya masih mahal sehingga mencecah RM70 sekilogram di daerah itu.
Tambahnya, kebanyakan durian musang king terbaik iaitu gred A akan dieksport ke luar negara khususnya di Singapura dan tidak dijual di daerah ini.
Dalam pada itu Abdullah menempelak Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang bermati-matian membela pekebun-pekebun yang meneroka tanah secara haram.
“Sebagai pengamal undang-undang, dia sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan kerajaan,” katanya.
Ujar Abdullah, Yu Hui diingatkan supaya tidak mencari populariti murahan.
“Penebangan pokok durian musang king haram di daerah ini perlu diteruskan agar menjadi contoh di kawasan lain supaya aktiviti penerokaan haram tidak dilakukan lagi,” katanya.
Menurut Abdullah, ketegasan yang dilaksanakan kerajaan negeri ini harus dijadikan teladan kepada semua pihak yang cuba menceroboh tanah kerajaan tanpa kebenaran.














