fbpx
ANAK sulung daripada dua beradik ini menunjukkan koleksi sampul duit raya yang dikumpulnya.

Adeeb Dhaifullah buru sampul duit raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT mengumpul sampul duit raya sering kali dikaitkan dengan golongan lebih berusia, namun siapa sangka ia juga menjadi satu kepuasan bagi seorang remaja berusia 13 tahun.

Perasaan tertarik terhadap kepelbagaian rekaan sampul duit raya sudah terbit dalam diri Adeeb Dhaifullah Mohd. Dzul Ikram sejak kecil lagi.

Pada mulanya, anak jati Johor itu hanya mengumpul sekeping dua sebagai kenangan, tetapi sejak tahun lepas, dia semakin aktif memburu sampul duit raya secara serius. Menurut Adeeb Dhaifullah, koleksi kegemarannya lebih tertumpu kepada karikatur. Walaupun begitu, dia turut mengumpul corak-corak lain untuk dijadikan sebagai koleksi.

“Saya mula mengumpul sampul duit raya kerana tertarik dengan reka bentuk karikatur yang unik. Rekaan sebegini sesuai dengan jiwa remaja saya.

“Sejak itu, saya menjadikan hobi ini sebagai satu cabaran untuk mendapatkan koleksi daripada pelbagai agensi dan syarikat,” katanya.

Lebih menarik, koleksi Adeeb Dhaifullah tidak hanya tertumpu pada Hari Raya Aidilfitri, malah dia turut mengumpul sampul duit raya sempena Tahun Baharu Cina.

Anak sulung daripada dua beradik itu telah berjaya mengumpul lebih 100 rekaan berbeza sepanjang dua tahun berjinak-jinak dengan hobi tersebut. Antara koleksi kegemarannya ialah sampul duit raya edisi khas Lawak

Kampus terbitan Kadokawa Gempak Starz dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Namun, pada tahun ini, Adeeb Dhaifullah terlepas peluang untuk mendapatkan edisi tersebut kerana habis terjual dalam tempoh singkat.

“Sampul duit raya Lawak Kampus ini biasanya diberi sebagai promosi apabila membeli buku tertentu.

ADEEB DHAIFULLAH berjaya mengumpul lebih 100 rekaan sampul duit raya sejak dua tahun lalu.

“Tapi tahun ini, dalam minggu pertama Ramadan sahaja semuanya dah habis.

“Saya dan mak dah pusing satu Johor Bahru pun tetap tak sempat beli,” katanya.

Buat masa ini, dia belum bercadang untuk bertukar koleksi dengan pengumpul lain kerana kekangan logistik dan kesibukan sekolah.

Bagaimanapun, ibunya, Arney Suhadah Istamar, memberi sokongan penuh dengan menyertai kumpulan pengumpul sampul duit raya di Facebook.

Menerusi akaun Facebook ibunya, Adeeb Dhaifullah teruja kerana dia tidak bersendirian dalam mencari koleksi sampul raya yang unik.

“Dalam Facebook, kebanyakannya orang dewasa. Jadi, mak akan jadi orang tengah untuk saya berkomunikasi tentang sampul raya.

“Melihat ramai orang saling berkongsi koleksi mereka membuatkan saya semakin bersemangat untuk menambah koleksi sendiri,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran terbesar hobinya, Adeeb Dhaifullah berkata, statusnya sebagai pelajar sekolah menyebabkan dia mengalami kekangan kewangan dan logistik.

Adeeb Dhaifullah masih bergantung sepenuhnya pada ibunya yang memainkan peranan sebagai ‘pelabur’ kerana kebanyakan sampul raya hanya diperoleh dengan pembelian produk tertentu.

Katanya, setiap kali berkunjung ke pasar raya, dia dan ibunya akan singgah dari satu kedai ke satu kedai untuk mencari koleksi baharu.

“Sampul duit raya ini bukan semua dapat percuma, ada yang kena beli barang dulu. Jadi, ibulah yang membantu saya dalam hal ini.

“Hobi ini memerlukan duit, sedangkan saya masih belajar. Jadi, saya perlu bijak merancang dan mengutamakan koleksi yang saya betul-betul minat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN