fbpx
Antara koleksi It’s Colourfully Bad oleh Daren yang dipersembahkan pada KLFW baru-baru ini.

Papar kontradiksi emosi zaman kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SESUATU yang cantik tidak semestinya perlu sempurna, manakala perkara yang dianggap janggal juga boleh mempunyai nilai estetika tersendiri.

Prinsip itu menjadi pegangan Daren, pengasas dan pereka di sebalik jenama fesyen tempatan, Ugly Pretty yang menjadikan pertembungan antara dua elemen bertentangan sebagai identiti rekaannya.

Menerusi Ugly Pretty, Daren gemar meneroka sisi pelik dan indah serta perkara tidak dijangka dan biasa dalam satu rekaan sekali gus memberinya kebebasan untuk bereksperimentasi menerusi fesyen.

Pendekatan sama dibawa menerusi koleksi terbaharunya, It’s Colourfully Bad yang dipersembahkan pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 baru-baru ini.

Kali ini, Daren mengetengahkan koleksi eksentrik menjadikan pengalaman zaman kanak-kanak sebagai inspirasi dengan melihat kembali memori membesar yang bukan sekadar dipenuhi kegembiraan dan kepolosan.

“Apabila memikirkan zaman kanak-kanak, kita sering membayangkan sesuatu yang berwarna-warni, gembira dan polos. Tetapi, bagi saya ia jauh lebih rumit.

“Setiap orang mempunyai kenangan yang berserabut, mengelirukan, indah atau mungkin juga menyakitkan,” katanya.

Menurut Daren, nama It’s Colourfully Bad tercetus selepas seseorang menyifatkan kisah zaman kanak-kanaknya sebagai ‘colourful’.

Ungkapan itu membuatkannya sedar bahawa sesuatu yang berwarna-warni tidak semestinya membawa maksud positif, sebaliknya boleh menggambarkan kehidupan yang sarat dengan pelbagai pengalaman dan emosi.

Menariknya, konsep tersebut tidak diterjemahkan dengan penggunaan warna terang secara berlebihan.

Sebaliknya, koleksi berkenaan menggunakan palet lebih terkawal dengan permainan tekstur, lapisan dan perincian untuk menyampaikan maksud ‘colourful’.

“Orang mungkin menjangkakan koleksi ini dipenuhi warna terang yang bertembung antara satu sama lain tetapi sebenarnya tidak banyak warna digunakan. Ia disengajakan kerana koleksi ini sendiri merupakan satu kontradiksi,” ujarnya.

Antara helaian utama ialah Conjoined Princess Gown yang tampil dengan dua karakter berbeza.

Bahagian hadapannya menggunakan fabrik jaring labuci bermotif bunga yang digabungkan dengan fabrik lain bagi menghasilkan struktur dan kemasan seakan porselin, manakala bahagian belakang tampil sepenuhnya dalam rona hitam.

Menurut Daren, pertembungan tersebut menggambarkan bagaimana satu memori mampu menyimpan kegembiraan dan emosi rumit secara serentak.

“Kenangan kita tidak pernah hanya tentang satu perkara. Ia boleh menjadi indah, berserabut dan mengelirukan. Semuanya boleh wujud bersama,” katanya.

Dalam perkembangan industri tempatan pula, Daren melihat semakin ramai pereka Malaysia berani mengetengahkan cerita dan perspektif peribadi menerusi karya.

Baginya, keberanian tersebut penting dalam membentuk identiti fesyen Malaysia selain sokongan platform seperti KLFW dan peruncit seperti Isetan yang membantu jenama bebas mendekati khalayak lebih luas.

Kehadiran koleksi di ruang runcit fizikal memberi peluang kepada pelanggan bukan sahaja melihat rekaan, malah menyentuh fabrik serta meneliti sendiri perincian setiap helaian.

Selepas pertunjukan itu, Ugly Pretty turut menerima banyak tempahan khas dan kini bersedia dengan beberapa projek baharu yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN