fbpx
Keadaan rumah di Taman Harmoni di Putra Height akibat kebakaran paip gas pada 1 April lalu. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

Cari dalang letupan paip gas sampai dapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Selain hal berkaitan pihak berkuasa tempatan, perkara yang menjadi bualan sepanjang minggu pertama hari raya ialah kebakaran saluran gas hingga menghasilkan letupan besar di Putra Heights, Subang Jaya pada pagi Selasa lalu.

Letupan yang membentuk api ‘cendawan’ itu menjejaskan 529 penduduk daripada 118 keluarga dengan 11 mangsa menerima rawatan di hospital.

Sejumlah 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya, manakala 399 kenderaan pula rosak.

Sudah pasti api yang sangat kuat mencecah 1,000 darjah Celsius itu turut memusnahkan tumbuhan dan haiwan di kawasan berdekatan.

Allahuakbar. Sekali lagi kita dikejutnya dengan kejadian yang tidak terduga ini. Pada 7 Mei 1991, letupan dahsyat berlaku di kilang membuat mercun di Sungai Buloh, Selangor yang mengorbankan 26 orang dan mencederakan 103 individu.

Kita tahu pihak berkaitan amat menitik beratkan keselamatan jika berkaitan minyak dan gas. Bagaimanapun, perkara yang telah ditakdirkan berlaku pasti akan terjadi juga.

Tuduh menuduh siapa yang salah sudah tidak penting. Polis pasti tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencari dalangnya. Apa yang perlu difokuskan ketika ini ialah mangsa keadaan.

Bayangkan mereka yang sedang bergembira menyambut Syawal tiba-tiba dikejutkan dengan kejadian yang memusnahkan keseluruhan harta benda.

Jika dilihat pada mata kasar, dugaan besar dalam hidup mereka itu hanya membawa kerugian besar.

Tetapi percayalah setiap apa yang berlaku itu pasti terselit hikmah di sebaliknya. Allah mahu menggantikannya dengan yang lebih baik dan sebaik-baik orang yang diuji ialah mereka yang bersabar.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum terkenal dengan sikap prihatin kerana suka membantu mereka yang dalam kesusahan.

Kerajaan misalnya memberikan bantuan awal antara RM2,500 dan RM5,000 kepada mangsa keadaan letupan itu.

Kita yang tidak berada di tempat mangsa janganlah membuat andaian bukan-bukan sebaliknya doakan supaya mereka tabah dan semoga banyak bantuan yang akan disalurkan untuk meringankan beban.

Sudah tentu kita tidak sabar untuk mengetahui siapa yang akan dipertanggungjawabkan di atas insiden ini. Desas- desus yang didengari mengenai pihak yang menjadi punca kejadian belum tentu betul.

Yang penting, seseorang harus dikenakan tindakan kerana kebakaran tersebut tidak berlaku dengan sendirinya. Polis dan pasukan penyiasat kena cari secepat mungkin untuk menenangkan hati rakyat Malaysia.

Apabila sudah dapat, ambillah tindakan yang sewajarnya supaya menjadi pengajaran pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN