fbpx
Saiz ikan tapah yang besar, namun belum pun mencapai saiz maksimum.

Tapah, ikan gergasi perairan air tawar Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pasti ramai yang kenal ikan air tawar gergasi dari luar negara seperti pirarucu (Arapaima gigas) yang wujud di Brazil atau patin Mekong (Pangasianodon gigas) yang wujud di lembangan Sungai Mekong, namun negara kita juga ada spesies ikan gergasi iaitu Wallagonia leerii (Bleeker,1851) yang kita kenali sebagai ikan tapah.

Ikan tapah dikenali secara global sebagai The Great Tapah kerana ikan ini boleh membesar sehingga 80 inci atau dua meter panjang, dan berat maksimumnya sekitar 150 kilogram (kg). Ada juga se­setengah maklumat mengatakan beratnya boleh mencapai sehingga hampir 200kg.

Menariknya, nama ikan tapah diambil sempena bandar Tapah yang berada di dalam daerah Batang Padang, Perak. Pada suatu ketika dahulu, ikan tapah banyak ditemui di Sungai Batang Padang.

Selain itu, nama ikan tapah amat sinonim dengan salah satu kisah rakyat di Perak iaitu kisah Pak Kaduk.

Beliau telah menyumpah keturunannya akan mengalami penyakit misteri (sejenis alergi) jika memakan ikan tapah dan hanya akan sembuh jika disapu dengan air rendaman kerongsang emas yang dikatakan diperolehi oleh Pak Kaduk dari perut seekor ikan tapah yang ditemuinya di sebatang sungai.

Namun, bukan kisah Pak Kaduk yang menjadi topik utama kali ini, topik utamanya adalah tentang ikan tapah yang dikatakan sebagai salah satu ikon perairan air tawar negara kita.

Taksonomi

Dari segi taksonomi, ikan tapah berada di dalam keluarga Siluridae iaitu keluarga yang sama dengan Wels Catfish (Siluris glanis) yang wujud di benua Eropah dan Helicopter Catfish (Wallago attu) yang wujud di India.
Ini serba sedikit menjelaskan mengapa penampilan ikan tapah kelihatan mirip dengan dengan kedua-dua ikan tersebut, cuma ketiga-tiganya berada di bawah genus berbeza.

Profil

Secara asasnya, ikan tapah mudah dikenal pasti melalui bentuk fizikal dan rupanya yang tersendiri, selain itu ia memiliki sepa­sang sesungut yang panjang di bahagian atas penghujung mulutnya.

Ada tiga jalur melintang yang berwarna hitam di badannya dan ada banyak tompokan kecil berwarna hitam berselerak khususnya di bahagian tengah badan sehingga ke sirip dubur.
Dari segi morfologi, ikan tapah mempunyai ciri-ciri yang agak mirip dengan Helicopter Catfish yang wujud di India dan selalu menjadi kekeliruan bagi orang yang tidak biasa melihat perbezaan antara kedua-duanya.

Namun, kedua-duanya boleh dibezakan dengan mudah melalui bentuk badan dan lebar mulutnya.
Ikan tapah memiliki bentuk badan yang lebih gempal terutamanya di bahagian perut dan badannya kelihatan lebih pendek berbanding Helicopter Catfish, lebar mulutnya tidak melebihi paras mata, di mana berbeza dengan Helicopter Catfish yang memiliki bentuk badan lebih panjang dan lebih ramping serta lebar mulutnya melebihi paras mata.

Taburan

Satu ketika dahulu, ikan tapah wujud hampir di kesemua negeri di Malaysia, namun mungkin kini telah pupus di kebanyakan wilayah taburannya akibat gangguan terhadap habitatnya, penangkapan tidak terkawal dan kemunculan ikan pendatang yang telah memberikan saingan sengit kepadanya terhadap sumber makanan serta habitat.

Spesimen ikan tapah bersaiz kasar yang dipancing menggunakan gewang di Sungai Tutoh, Mulu, Sarawak.

Antara ikan pesaingnya adalah seperti ikan baung ekor merah (Hemibagrus wyckioides) yang berasal dari lembangan Sungai Mekong di Indochina.

Selain di Malaysia, taburan ikan tapah sebenarnya agak luas di Asia Tenggara, ia turut wujud di negara-negara Indochina seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam, selain di Indonesia dan Singapura, namun kebarangkalian telah pupus di Singapura.

Habitat

Kebiasaannya, ikan tapah mendiami su­ngai-sungai yang besar dan berarus dengan pH sekitar 6.0 hingga 7.0 dan suhu sekitar 26 hingga 28 darjah Celsius.
Ketika musim mengawan, kebiasaannya ia akan memasuki ke kawasan berair tenang seperti paya, tasik atau bekas lombong yang ada berhubung dengan sungai untuk mengempaskan telurnya.

Diet
Ikan tapah adalah spesies ikan karnivor dan pemangsa, antara sumber makanan utamanya adalah zooplankton (semasa peringkat larva), ikan, krustasea, serangga dan kemungkinan besar turut memakan mamalia kecil seperti anak kera atau burung di gigi air.

Namun, tapah bukanlah ikan yang aktif memburu, kebiasaannya ia akan menunggu mangsa berada berhampiran barulah ia menyerang dan memakannya.

Pembiakan
Kebiasaannya, ikan tapah akan mula berimigrasi ke kawasan paya, tasik atau anak sungai pada sekitar Julai hingga November iaitu sejurus sebelum fasa peralihan angin monsun. Ini kerana, ketika itu curahan hujan akan mula kerap terjadi dan banyak kawasan rendah akan mula ditenggelami air.

Ikan jantan dan betina akan naik hampir ke permukaan air untuk mengawan dan ‘menghempaskan’ telur secara terbuka.Kemudian, ia akan meninggalkan telurnya tanpa mengawal dan melindunginya. Setelah telurnya menetas, anaknya secara berperingkat akan mula menelusuri semula ke aliran sungai utama.

Tidak dapat dipastikan secara tepat jangka hayat ikan tapah, tapi berpandukan pemerhatian yang telah dibuat, anak ikan tapah akan mencapai kematangan seawal dua tahun dan akan hidup sehingga 10 tahun, ada kebarangkalian ia boleh hidup sehingga 12 tahun.

Nilai komersial
Ikan tapah sebenarnya sebelum ini tidak pernah dikomersialkan dalam sektor akuakultur di Malaysia kerana industri akuakultur di negara ini lebih banyak tertumpu kepada spesies ikan asing.
Namun kini, sudah ada penternak memilih untuk menternak dan membiakkan ikan tempatan ini kerana sebenarnya ia ada perminta­­an di dalam pasaran makanan dan pasaran ikan hiasan.

Selain itu, penternakannya juga turut membantu usaha konservasi bagi meningkatkan semula populasinya di perairan melalui program pelepasan benihnya secara berpe­ringkat, memandangkan populasinya sudah semakin mengecil dan mula terancam ketika ini.

Di dalam pasaran makanan, harga ikan tapah boleh mencapai sekitar RM70 untuk satu kilogram, namun harganya mungkin berbeza mengikut negeri, sungai dan sebagainya kerana tiada penyelarasan harga dibuat untuk ikan ini di seluruh Malaysia.

Ikan tapah kini semakin mendapat permintaan dalam pasaran ikan hiasan, khususnya peminat ikan pemangsa yang bersaiz besar, malah ia juga mempunyai permin­taan dari negara luar.

Bagaimanapun, setakat ini ikan tapah tiada dijual di mana-mana kedai ikan hiasan kerana penge­luaran ikan ini daripada ternakan masih lagi dalam skala kecil untuk menampung kehendak pasaran, dan lebih banyak dijual dalam kuantiti kecil.

Sukan memancing

Kini, ikan tapah sudah semakin dikenali dalam kalangan pemancing dan mula diangkat sebagai salah satu spesies ikan tempatan yang harus dimasukkan sebagai koleksi tangkapan. Saya pernah senaraikan ikan tapah sebagai ikan sukan tempatan di dalam ‘30 Spesies Ikan Sukan Tempatan’ yang pernah saya keluarkan di semua laman media sosial Jejak Air Tawar.

Sebenarnya, kisah ikan ini tewas dengan godaan gewang bukanlah sesuatu yang baru. Sejak tahun 1990-an lagi, kita telah menyaksikan beberapa orang pemancing yang berpengalaman telah berjaya memujuknya menggunakan teknik mengilat dan menunda gewang.

Wallago attu atau Helicopter Catfish yang dipancing di India.

Zaman sekarang ramai peman­cing telah menambah baik lagi teknik untuk memujuk ikan ini dengan kepelbagaian jenis gewang yang lebih sesuai.

Buat masa ini, antara lokasi yang popular bagi pemancing memburu ikan tapah adalah di Ban Canal di Selangor, Sungai Pahang, Sungai Muar dan beberapa sungai di Sa­­rawak.

Sepatutnya ada lebih banyak lokasi di beberapa sungai di negeri lain yang berpotensi untuk menjadi padang pancing bagi pemancing memburunya, namun populasinya semakin mengecil dan ada juga lokasi yang telah alami kepupusan ikan ini.

Konservasi

Dengan populariti ikan tapah yang saban hari kian meningkat, saya secara peribadi meletakkan harapan penternakan ikan ini atau apa-apa sahaja ikan tempatan akan semakin menjadi pilihan. Ini serba sedikit akan membantu mengekalkan kewujudan ikan ini di Malaysia dan dapat meningkatkan semula populasinya di perairan.

Namun, penangkapan yang tidak terkawal, pencemaran dan juga pelepasan ikan asing perlu dipantau dan dicegah. Dengan memperkenalkan lagi ikan ini dalam pasaran ikan hiasan dan juga sukan memancing, kita akan dapat mengurangkan permintaan terhadap ikan hiasan asing.

Pelepasan benih ke perairan secara berperingkat juga boleh menggantikan ikan pendatang yang sejak sekian lama menjadi invasif di perairan Malaysia dan menjadi kegilaan segelintir pemancing, antaranya seperti peacock bass (Cichla sp.) yang masih ramai amalkan ‘tangkap dan lepas’ terhadap ikan pendatang ini hanya kerana mereka menagihkan sambarannya.

Malah, masih ada kelompok pemancing yang tidak bertanggungjawab melepaskan ikan pendatang ini ke lokasi baharu yang tiada kewujudannya sebelum ini. Perkara ini bukan saja akan merosakkan biodiversiti perairan tersebut, malah akan memberi kesan buruk yang besar terhadap ekosistem pada suatu hari nanti.

Semoga ikan tapah dan semua spesies ikan tempatan mampu mewujudkan obsesi dalam kalangan pemancing, pemilik ikan hiasan, mahu­pun penternak bagi mengurangkan spesies ikan pendatang di perairan yang saban hari sebenarnya semakin kritikal dan perlu dikawal mulai sekarang.

Akhir kata daripada saya, ikan tapah dan spesies ikan-ikan tempatan yang lain adalah identiti negara kita, kewujudannya juga adalah untuk menjamin kelestarian ekosistem perairan negara kita. Ini kerana, ke­terjaminan kehidupan manusia juga amat bergantung kepada ekosistem alam semula jadi yang sihat.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN